AM

Misi Perdagangan Francais Malaysia Ke Istanbul Potensi Tarik Pelaburan Rm30 Juta - Fuziah

26/10/2023 11:42 PM

KUALA LUMPUR, 26 Okt (Bernama) -- Syarikat tempatan yang menyertai Misi Pengembangan Perdagangan Francais ke Istanbul, Turkiye mampu menarik potensi pelaburan sebanyak RM30 juta bagi syarikat francais Malaysia dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Fuziah Salleh yang mengetuai delegasi itu berkata misi berkenaan bertujuan mempromosikan jenama francais tempatan sekali gus menembusi pasaran Turkiye yang mempunyai potensi pasaran besar.

“Misi ini melibatkan mesyuarat perniagaan antara syarikat Malaysia bersama pelabur serta usahawan tempatan Turkiye bagi kerjasama perniagaan.

“Tujuh jenama Malaysia menyertai misi ini iaitu HOME, Laundrybar, Mokti’s, Q-dees, Secret Recipe, Universal Concept of Mental Arithmetic System (UCMAS) dan US Pizza,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Fuziah yang merasmikan Pavilion Francais Malaysia di Ekspo Be My Franchise Istanbul memaklumkan ekspo itu melibatkan penyertaan 50 negara bersama lebih 200 jenama tempatan dan antarabangsa.

Turkiye merupakan rakan dagang Malaysia yang ketiga terbesar, destinasi eksport terbesar dan sumber import keenam terbesar dalam kalangan 16 negara Asia Barat bagi 2022 manakala perdagangan dua hala antara kedua-dua negara mencatatkan rekod tertinggi setakat ini iaitu RM20.25 bilion.

Fuziah juga dijadual mengadakan mesyuarat ringkas bersama wakil badan Foreign Economic Relations Board of Turkiye (DEIK) dan wakil persatuan francais di Turkiye iaitu Turkish Franchising Association (UFRAD),  pertemuan dengan wakil persatuan Tider Food Bank selain lawatan ke beberapa outlet francais tempatan di Istanbul serta francais tempatan Turkiye.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan