TAPAH, 25 Okt (Bernama) -- Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kampar bersiap siaga menggerakkan lebih 10 agensi terlibat bagi menghadapi banjir susulan musim Monsun Timur Laut (MTL) yang diramal berlaku pertengahan November ini hingga Mac tahun depan.
Pengerusinya Nazrul Fazami Mohamad berkata kolobrasi bersama agensi dan jabatan kerajaan yang terlibat amat penting untuk bertindak balas sekiranya berlaku situasi kecemasan dan bencana di daerah itu.
"Pihak kami sentiasa dalam keadaan bersedia dari segi aset dan anggota untuk menghadapi sebarang kemungkinan bencana ketika musim MTL nanti, malah Latihan Pengendalian Bot dan Menyelamat di Air di Tasek Temoh ini turut melibatkan 50 peserta daripada pelbagai agensi.
"Latihan penyelamat tersebut dilaksanakan bertujuan mewujudkan kesepakatan antara agensi terlibat dalam menghadapi sebarang bencana yang secara tidak langsung akan memudahkan gerak kerja mereka," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Latihan Pengendalian Bot dan Menyelamat di Air antara Agensi Bencana Daerah Kampar di Tasek Temoh di sini hari ini .
Menurutnya bagi melancarkan tugas operasi yang berkaitan selain latihan penyelamatan, pihaknya juga mengadakan simulasi di pusat pemindahan sementara (PPS) yang dikelolakan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
"Kita telah kenal pasti 25 PPS boleh dibuka di daerah ini, JKM juga telah memanggil agensi terlibat selain mengadakan simulasi mengenai peranan mereka apabila sesebuah PPS dibuka.
"Proses latihan simulasi ini diadakan berterusan seperti mana yang telah ditetapkan oleh arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dikelolakan oleh pihak Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) di peringkat Persekutuan," katanya.
Beliau berkata pihaknya juga akan terus melakukan latih amal dan libat urus bersama agensi termasuk komuniti bagi melaksanakan persiapan lebih rapi menghadapi MTL, dengan fokus adalah kawasan yang tidak terjangka boleh berlakunya banjir.
"Bentuk muka bumi Kampar banyak lombong tinggal termasuk sungai di kawasan pinggiran, jadi kita perlu bersiap sedia bagi mengelak sebarang malapetaka yang berlaku.
"Setakat ini semua maklumat dan dapatan telah kita peroleh melalui kerjasama semua agensi dan mereka telah berada dalam keadaan siap sedia untuk digerakkan bagi operasi menyelamat kelak," katanya.
Menurutnya latihan di Tasek Temoh turut melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia, Kementerian Kesihatan, Pejabat Pendidikan Daerah, Majlis Daerah Kampar dan pejabat pusat khidmat rakyat Parlimen Kampar dan pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial