DUNIA

SINGAPURA BAKAL HANTAR DELEGASI TERBESAR KE CIIE 2023

25/10/2023 11:04 AM

BEIJING, 24 Okt (Bernama-CMG) -- Singapura bakal menghantar delegasi terbesar membabitkan lebih 500 wakil dari 56 buah syarikat untuk menyertai Ekspo Import Antarabangsa China (CIIE) edisi keenam, sekali gus menyaksikan jumlah penyertaan pempamer paling ramai sejak 2020. 

Dewan pameran Singapura kali ini meliputi kawasan seluas 1,286 meter persegi, merangkumi tiga zon utama iaitu barangan pengguna, produk makanan dan pertanian serta perdagangan perkhidmatan.

Ketua Pegawai Eksekutif Persekutuan Perniagaan Singapura (SBF) Kok Ping Soon berkata hubungan antara Singapura dengan China membawa banyak peluang perniagaan dan perdagangan kepada kedua-dua pihak. 

"China akan sentiasa menjadi pasaran penting bagi syarikat Singapura, manakala platform CIIE penting bagi syarikat Singapura untuk menembusi pasaran China terutamanya dalam sektor inovasi digital dan pembangunan mampan," katanya semasa sidang media SBF pada Isnin. 

Menurut Laporan Tinjauan Perniagaan SBF 2022/2023, sebanyak 46 peratus syarikat memulakan urus niaga di China, manakala dalam kalangan syarikat yang merancang melebarkan sayap ke luar negara sebanyak 21 peratus daripadanya berhasrat untuk memasuki pasaran China.

SBF juga akan menganjurkan Forum Ekonomi, Perdagangan dan Pelaburan Singapura-China di Shanghai pada 6 November. 

Sebagai platform perniagaan dua hala peringkat tinggi, forum itu akan diadakan menerusi siaran langsung dalam dan luar talian secara serentak, bertujuan untuk menggalakkan pertukaran dan kerjasama antara perusahaan Singapura dan China.

-- BERNAMA-CMG


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan