EKONOMI

Acmf Lulus Panduan Kewangan Peralihan Pada Mesyuarat Pengerusi Acmf Ke-39

16/10/2023 09:50 PM

KUALA LUMPUR, 16 Okt (Bernama) -- Forum Pasaran Modal ASEAN (AMCF) hari ini meluluskan panduan kewangan peralihan ASEAN semasa Mesyuarat Pengerusi ACMF ke-39 yang dihoskan oleh Otoritas Jasa Keuangan Indonesia (Pihak Berkuasa Perkhidmatan Kewangan Indonesia).

Dalam satu kenyataan, ia berkata panduan itu berfungsi sebagai piawaian yang sama untuk apa yang membentuk peralihan yang boleh dipercayai, telus dan inklusif dengan tumpuan pada peluang kewangan peralihan yang diselaraskan dan diselaraskan.

"Panduan itu melengkapkan taksonomi ASEAN. ACMF berhasrat untuk berunding dan memperhalusi lagi panduan dengan mengambil kira maklum balas perundingan pihak berkepentingan pada masa hadapan," katanya.

Forum untuk pengawal selia pasaran modal rantau itu berkata mesyuarat itu turut meluluskan laporan awal yang memaparkan penemuan awal mengenai keadaan keseluruhan pembangunan pasaran karbon sukarela di ASEAN dan prinsip pendedahan dalam mengimbangi karbon.

Pasaran karbon sukarela merupakan salah satu sistem perdagangan karbon yang menggalakkan perusahaan mengurangkan gas-gas haba terperangkap (GHT) secara 'sukarela' misalnya dengan membiayai projek hijau seperti pemulihan hutan. 

“Laporan itu bertujuan untuk menjadi langkah pertama ke arah kajian yang lebih komprehensif dan laporan berstruktur berhubung pasaran karbon sukarela di ASEAN dan kepentingan pendedahan mengimbangi karbon.

"Bagi memudahkan tawaran rentas sempadan dana mampan dan bertanggungjawab (SRF) ASEAN di bawah rangka kerja skim pelaburan kolektif (CIS) ASEAN sedia ada, mesyuarat itu meluluskan buku panduan untuk tawaran rentas sempadan ASEAN SRF di bawah rangka kerja CIS ASEAN, yang akan diterbitkan di laman web ACMF," katanya.

ACMF menyatakan bahawa mesyuarat itu telah meluluskan kad skor tadbir urus korporat ASEAN yang disemak semula supaya selaras dengan prinsip tadbir urus korporat G20/OECD (Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi) yang disemak semula, di mana tadbir urus berkaitan kemampanan adalah antara semakan utama.

Sementara itu, kenyataan itu berkata mesyuarat itu menyaksikan pemeteraian protokol Dialog Yayasan ACMF-IFRS mengenai piawaian pendedahan kemampanan Piawaian Pelaporan Kewangan Antarabangsa (IFRS) oleh pengerusi ACMF 2023 dan ahli lembaga Lembaga Piawaian Kelestarian Antarabangsa (ISSB) bagi pihak Yayasan IFRS.

"Protokol ini berfungsi sebagai panduan untuk sesi libat urus akan datang ACMF dengan ISSB. Sebagai sebahagian daripada objektif ACMF untuk menggalakkan pendedahan kemampanan yang konsisten dan setanding merentas bidang kuasa, ia menilai kebolehlaksanaan untuk mengguna pakai piawaian pendedahan kemampanan IFRS, dengan mengambil kira aturan undang-undang dan peraturan masing-masing bidang kuasa,” katanya.

Selain itu, mesyuarat itu menyaksikan penyerahan jawatan pengerusi ACMF daripada pengerusi ACMF 2023, Otoritas Jasa Keuangan Indonesia kepada Pejabat Suruhanjaya Sekuriti Lao untuk tahun 2024 dengan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia sebagai naib pengerusi.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan