AM

Lebih 500 Pekerja Syarikat Penerbangan Dijangka Terima Manfaat Sip Jika Diberhentikan - Sivakumar

15/10/2023 09:21 PM

KUALA LUMPUR, 15 Okt (Bernama) -- Lebih 500 pekerja sebuah syarikat penerbangan tambang murah dijangka menerima manfaat Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) jika perkhidmatan mereka ditamatkan, kata Menteri Sumber Manusia V.Sivakumar.

Beliau berkata manfaat Elaun Mencari Pekerjaan (EMP) itu akan diberikan kepada pekerja berkenaan selepas semakan terhadap rekod caruman SIP mereka memenuhi syarat kelayakan.

“Pekerja berkenaan akan menerima gantian pendapatan untuk tempoh tiga hingga enam bulan sementara mendapat kerja baharu,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Khamis lepas MYAirline Sdn Bhd (MYAirline) menerusi satu kenyataan memaklumkan mengenai penggantungan operasinya mulai 6 pagi dan  keputusan berkenaan diambil berikutan tekanan kewangan.

Mengulas lanjut Sivakumar berkata Kementerian Sumber Manusia dan Perkeso komited serta sentiasa bersedia membantu meringankan bebanan pekerja syarikat penerbangan tambang murah berkenaan dari segi kewangan sekiranya mereka diberhentikan kerja.

Menurutnya kementerian itu melalui agensinya Perkeso sentiasa memantau perkembangan terkini bagi memastikan segala perkara yang melibatkan kebajikan pekerja akan diambil tindakan segera.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan