AM

Syarahan Dan Bercerita Bahasa Melayu Platform Tingkat Penguasaan Berbahasa Murid Sjkc, Sjkt

05/10/2023 09:55 AM

KUALA PERLIS, 5 Okt (Bernama) -- Penguasaan Bahasa Melayu dalam kalangan murid Sekolah Jenis Kebangsan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) dapat dipertingkat melalui platform penganjuran pertandingan syarahan dan bercerita dalam Bahasa Melayu.

Timbalan Menteri Pendidikan Lim Hui Ying berkata pertandingan seumpama itu juga dapat menyemai semangat cintakan bahasa itu dan menerapkan perpaduan dalam kalangan mereka.

“...ini merupakan satu realiti yang membuktikan kebanyakan anak-anak kita yang mengikuti pendidikan di Sekolah Jenis Kebangsaan bukan sahaja fasih dalam bahasa ibunda (mereka) malah juga dapat bertutur menggunakan Bahasa Melayu dengan baik dalam kehidupan seharian.

“...saya percaya hadirin dapat melihat betapa berpotensinya anak-anak kita menggunakan bahasa kebangsaan dalam menyampaikan cerita dan syarahan,” katanya ketika berucap menutup Pertandingan Syarahan dan Bercerita Bahasa Melayu SJKC dan SJKT Piala Perpaduan Perdana Menteri peringkat kebangsaan 2023 di sini malam tadi.

Pada pertandingan itu, johan bercerita Bahasa Melayu dimenangi S. Thaaranii dari SJKT Kamunting, Perak; Ray Ong Kaa Rui dari SJKC Batu Sebelas Cheras, Selangor memenangi tempat pertama pertandingan syarahan Bahasa Melayu manakala Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur johan keseluruhan pertandingan yang membawa pulang Piala Perpaduan Perdana Menteri.

Sementara itu, pada sidang media selepas majlis berkenaan Lim berkata SJKC dan SJKT tidak pernah mengabaikan penggunaan Bahasa Melayu dan dengan adanya program seperti penganjuran pertandingan itu ia dapat menunjukkan murid sekolah berkenaan sememangnya fasih dalam berbahasa Melayu.

“Saya yakin anak-anak kita memang berbakat… ini menjadi satu bukti bahawa mereka boleh fasih, kuasai (Bahasa Melayu) dengan baik sekali,” katanya.

Dalam pada itu, Lim berkata kementeriannya akan bekerjasama dengan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) dalam usaha merealisasikan agenda pendigitalan pendidikan dalam sistem pendidikan negara. 

“(Berhubung agenda pendigitalan pendidikan) hasrat kita adalah untuk memastikan semua sekolah dapat liputan capaian Internet paling baik, seperti semua tahu, bukan semua kawasan dapat liputan, kita akan bekerjasama rapat dengan KKD. 

“KKD sudah pun banyak buat langkah dan sudah dapat data-data sekolah mana yang perlu perhatikan, kita harap dalam jangka masa akan datang kita dapat mengatasi masalah (liputan capaian Internet) ini,” katanya.

Selasa lepas, media melaporkan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek menyatakan agenda pendigitalan pendidikan dalam sistem pendidikan negara antara yang akan diberikan tumpuan oleh kementeriannya dalam Belanjawan 2024.

Fadhlina dipetik sebagai berkata agenda itu akan dipacu sepenuhnya melalui peruntukan belanjawan itu sekali gus bagi menyokong Dasar Pendidikan Digital (DPD) untuk melahirkan murid berkemahiran digital dalam era Revolusi Industri 4.0.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan