AM

Jppm Luluskan Peruntukan Gppk Kepada Lebih 1,000 Persatuan

02/10/2023 10:22 PM

SHAH ALAM, 2 Okt (Bernama) -- Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) meluluskan pemberian peruntukan Geran Pertubuhan Prihatin Komuniti (GPPK) kepada 1,016 persatuan penduduk yang berdaftar di bawah jabatan berkenaan setakat 27 Sept lepas.

Ketua Pengarah JPPM Mohd Nawardi Saad berkata peruntukan GPPK berjumlah RM20 juta daripada Belanjawan 2023 bertujuan membantu persatuan penduduk melaksanakan pelbagai aktiviti kesukarelawanan untuk keselamatan komuniti setempat.

"Sehingga 27 Sept lalu, sebanyak 1,635 permohonan diterima dengan 1,016 pertubuhan diluluskan pemberian GPPK, manakala 106 permohonan tidak berjaya serta selebihnya masih di peringkat saringan dan tindakan JPPM negeri.

Tarikh tutup permohonan (untuk GPPK) tamat pada 30 Sept lalu tetapi kita lanjutkan sehingga 31 Okt ini. Kami di JPPM menggalakkan persatuan penduduk yang belum buat permohonan untuk berbuat demikian supaya dapat diagihkan (geran) dengan segera," katanya selepas Program Memperkasa Tadbir Urus Keselamatan Komuniti Negeri Selangor di sini hari ini.

Di samping pemberian geran, Mohd Nawardi berkata, JPPM tidak pernah leka dalam melaksanakan pemantauan terhadap pertubuhan berdaftar.  

"Tahun ini JPPM menyasarkan aktiviti pemeriksaan terhadap 1,000 pertubuhan yang merangkumi kategori keagamaan, rekreasi, kebajikan dan sosial. 

“Sehingga Ogos lalu, sebanyak 981 pertubuhan dibuat pemeriksaan dan daripada jumlah itu, 29.9 peratus pertubuhan didapati melanggar undang-undang tubuh atau perlembagaan pertubuhan masing-masing," katanya.

Selain itu Mohd Nawardi berkata terdapat sebanyak 189,605 pertubuhan yang berdaftar bawah JPPM yang terdiri daripada 97,975 pertubuhan parti politik membabitkan 69 induk dan 97,906 cawangan sehingga 30 Sept lalu.

"Sebanyak 91,630 pertubuhan bukan politik yang merangkumi 81,204 adalah pertubuhan induk manakala 10,426 adalah cawangan (dalam tempoh yang sama),” katanya.  

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan