EKONOMI

K'JAAN TANGGUNG SUBSIDI LEBIH RM100 BILION SETAHUN JIKA HARGA MINYAK MENTAH DUNIA CECAH US$100 SETONG

19/09/2023 09:55 PM

KUALA LUMPUR, 19 Sept (Bernama) -- Kerajaan dijangka menanggung subsidi lebih RM100 bilion setahun sekiranya harga minyak mentah dunia mencecah US$100 setong, melainkan reformasi dilaksanakan terhadap sistem subsidi, kata Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.

Beliau berkata, perbincangan berkenaan subsidi bersasar tidak dapat dielakkan apabila melibatkan anjakan besar yang perlu dilaksanakan untuk mengukuhkan kedudukan fiskal negara. 

Menjawab pertanyaan Datuk Seri Johari Abdul Ghani (BN-Titiwangsa) berkenaan komitmen politik bagi melaksanakan subsidi bersasar ini, beliau menyatakan keyakinan bahawa Kerajaan Perpaduan akan melaksanakan tindakan yang betul dan membuat perubahan sepenuhnya berkenaan subsidi bersasar.

“Pada 2022, kerajaan menanggung subsidi pukal lebih RM80 bilion bagi RON95, diesel, gas petroleum cecair dan elektrik. Hari ini, harga minyak mentah dunia mencecah US$95 setong dan akan mencecah US$100 setong tidak lama lagi. 

“Pada harga ini, (US$100) subsidi yang ditanggung kerajaan boleh melepasi RM100 bilion setahun,” katanya ketika menggulung perbahasan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (KSP RMK12) bagi Kementerian Ekonomi di Dewan Rakyat hari ini.

Rafizi berkata, secara rasional, adalah lebih baik sekiranya perbelanjaan ini disasarkan kepada golongan yang benar-benar memerlukan dan diperuntukkan untuk khidmat rakyat serta perbelanjaan pembangunan lain.

Bagaimanapun, beliau berkata kaedah yang digunakan perlu adil untuk rakyat mengimbangi kesan makro lain seperti inflasi.

Sehubungan itu, Rafizi berkata kerajaan telah mewujudkan Pangkalan Data Utama (Padu) yang akan menjadi mekanisme utama subsidi bersasar, dengan mengenal pasti golongan yang layak. 

“Padu yang dijadual dilancarkan pada Januari 2024 akan mengintegrasikan data mikro daripada pelbagai agensi kerajaan. Ini juga bererti, sebagai permulaan kepada program subsidi bersasar ini,” katanya.

Menerusi sistem Padu, kriteria yang ditentukan tidak lagi mengikut kumpulan sasar sebelum ini iaitu pendapatan isi rumah semata-mata, malah turut merujuk kepada aspek lain antaranya tanggungan, lokaliti, jarak ke tempat kerja serta pemilikan aset seperti rumah, kenderaan dan tanah untuk mendapatkan pendapatan boleh belanja bersih, katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan