AM

GPS AKAN SOKONG KERAJAAN PERPADUAN HINGGA PILIHAN RAYA UMUM SETERUSNYA - ABANG JO 

16/09/2023 11:27 PM

KUCHING, 16 Sept (Bernama) -- Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan terus memberi sokongan kepada Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hingga Pilihan Raya Umum seterusnya.

Pengerusi GPS yang juga Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata sokongan itu penting agar wujud kestabilan yang membolehkan Kerajaan Persekutuan mentadbir dengan lebih fokus.

“Kami memberi anda (Anwar) sokongan penuh dan memiliki Kerajaan Persekutuan yang stabil sehingga pilihan raya seterusnya, ” kata beliau semasa berucap di Majlis Sambutan Hari Malaysia 2023 Peringkat Kebangsaan di Stadium Perpaduan, di sini, malam ini.

Selain Anwar, Pemangku Yang Dipertua Negeri Sarawak Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nassar turut hadir sebagai tetamu kehormat di acara itu.

Abang Johari berkata walaupun Sarawak dan Sabah menuntut beberapa perkara khususnya di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), ia tidak bererti kedua-dua negeri itu termasuk Semenanjung Malaysia tidak boleh bekerjasama demi Malaysia.

“Penubuhan Kerajaan Perpaduan adalah bukti perbezaan tidak menjadi penghalang ke arah perpaduan,” katanya.

Beliau berkata Kerajaan GPS di Sarawak turut berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan yang telah menunjukkan kesediaan mengembalikan hak-hak Sarawak dan juga Sabah, seperti diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan dan MA63.

Katanya perkara itu adalah kehendak keseluruhan rakyat Sarawak supaya hak dan keistimewaan Sarawak dalam Perlembagaan dan MA63 terus dihormati dan dilaksanakan seperti dipersetujui oleh para pemimpin kemerdekaan pada tahun 1963.

“Sarawak mungkin dituduh bersikap kedaerahan dengan tuntutan-tuntutan tersebut tetapi rakyat Sarawak hanya mahu hak Sarawak dan tidak berniat untuk merampas hak orang lain,” katanya.

Sementara itu, Abang Johari berkata tarikh 16 Sept dan 31 Ogos sama penting kerana kedua-kedua tarikh itu saling berkait dari segi kepentingannya kepada kewujudan negara ini.

“Secara peribadi, saya kira tidak perlulah kita berdebat panjang lebar mengenai tarikh-tarikh ini tetapi memberi fokus kepada usaha penyatuan wilayah-wilayah dan penyatuan bangsa di samping memastikan pembangunan dilaksanakan sama rata di setiap wilayah.

Selain itu, apa yang penting ialah Perayaan Hari Malaysia sepatutnya menyedarkan seluruh rakyat Malaysia bahawa bumi Malaysia itu wujud dari Kangar hingga ke Kuching dan terus ke Kota Kinabalu di bahagian Timur,” katanya. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan