KUALA LUMPUR, 29 Ogos (Bernama) -- Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini telah dirakam keterangan bagi membantu siasatan berhubung kenyataan berunsur penghinaan terhadap institusi raja seperti yang disiarkan sebuah portal berita pada 6 Jun lepas.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata turut diambil keterangan bagi membantu siasatan adalah bekas Pengerusi Pejuang Wilayah Persekutuan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan bekas Timbalan Presiden Pejuang Datuk Marzuki Yahya.
Beliau berkata kes masih di peringkat siasatan dan orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat spekulasi atau berkongsi maklumat yang salah hingga mengganggu proses siasatan.
“Kes disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bahagian D5, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Mohd Shuhaily dalam kenyataan berasingan juga mengesahkan telah menjalankan siasatan terhadap pemilik atau pengendali akaun Facebook Iman Mustaqim yang memuat naik hantaran berbaur penghinaan terhadap Sultan Selangor semalam.
Menurutnya hantaran di Facebook tersebut berkecenderungan menghasut bagi mendatangkan penghinaan atau membangkitkan perasaan tidak setia terhadap Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Beliau berkata kes turut disiasat oleh unit yang sama di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Kes berkenaan juga masih di peringkat siasatan dan orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat spekulasi atau berkongsi maklumat yang salah sehingga mengganggu proses siasatan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial