AM

MODUL PENGHAYATAN HADIS 40 IMAM NAWAWI BANTU BENTUK AKHLAK PELAJAR

27/08/2023 10:04 AM

Oleh Anis Nabilla Md Wazilah

KUANTAN, 23 Ogos (Bernama) -- Pelaksanaan modul penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi di sekolah dilihat dapat membantu pembentukan akhlak generasi muda Islam yang lebih baik.

Mufti Pahang Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman berkata hadis tersebut perlu diketahui dan dipelajari umat Islam kerana ia mencakupi perihal dalam kehidupan. 

"Hal-hal ibadah, adab, pergaulan dan sebagainya disentuh dalam hadis berkenaan...kelazimannya mereka yang dewasa yang mempelajarinya dan elok sangat jika diberikan pendedahan daripada usia muda," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Kementerian Pendidikan (KPM) pada Sabtu lepas melancarkan modul tersebut bertujuan memupuk penghayatan hadis bermula di peringkat sekolah lagi.

Ia akan mula dilaksanakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK), sebelum diedarkan ke sekolah-sekolah di bawah KPM tahun depan.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Bukit Piatu, Bentong, Amir Rozaini Ahmad Rani berkata penerapan asas kefahaman agama menerusi modul itu dapat membentuk akhlak anak muda selari dengan ajaran agama Islam, apatah lagi dengan pengaruh Internet dan media sosial pada masa ini.

"Penerapan nasihat yang baik menerusi penghayatan hadis itu boleh membantu membentuk akhlak. Oleh itu, penting untuk dipastikan penjelasan yang dibuat adalah menggunakan bahasa mudah, bukan bahasa yang agak tinggi supaya mesej dapat difahami terus golongan muda,” katanya. 

Sementara itu, Naib Canselor Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS) Prof Madya Datuk Dr Mohd Zawavi Zainal Abidin berkata langkah proaktif tersebut dilihat sebagai usaha kerajaan memartabatkan bidang hadis terutama dalam kalangan generasi muda.

“Inisiatif ini sangat bagus kerana kadang-kadang kurang pendedahan diberikan berkaitan hadis sedangkan ia merupakan rujukan kedua selepas al-Quran.

"Kami sentiasa menyokong dan sedia membantu apa sahaja berkaitan hadis sekiranya diperlukan kelak kerana ia selari dengan fokus universiti untuk memperkasakan bidang hadis,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan