CYBERJAYA, 22 Jun (Bernama) -- Kohort ke-17 program Cyberview Living Lab Accelerator (CLLA) sedang mengenal pasti syarikat permulaan yang terlibat dalam kluster teknologi, terutamanya dalam mobiliti pintar, penjagaan kesihatan pintar dan kreativiti digital untuk membantu memulakan inovasi mereka.
CLLA ialah program intensif selama lima bulan yang diterajui oleh pemaju hab teknologi Cyberjaya, Cyberview Sdn Bhd (Cyberview), yang menjadi platform untuk syarikat permulaan memacu pertumbuhan mereka.
Ketua Bahagian Pembangunan Hab Teknologi Cyberview Shafinaz Salim berkata CLLA mengiktiraf keupayaan syarikat permulaan untuk memastikan mereka boleh berubah daripada konsep idea kepada produk sebenar dan kemudian menembusinya ke pasaran.
“Bagi menarik pelabur yang lebih serius, syarikat permulaan perlu dilengkapi dengan baik dan mempunyai pelan perniagaan yang betul,” katanya, sambil menambah CLLA akan memberi tumpuan mengenainya melalui program bimbingan.
“Mereka (syarikat permulaan) akan menjalani siri latihan mengenai cara untuk menguruskan perniagaan, merancang pengurusan operasi dan pelan pembangunan pasaran,” katanya ketika ditemui di luar program CLLA Tech Innovators: Creating the Future di sini hari ini.
Sejak 2013, Cyberview telah melabur lebih RM6 juta dalam syarikat permulaan melalui CLLA dan membimbing 90 syarikat permulaan mewujudkan lebih 1,400 pekerjaan.
Antara alumni yang berjaya dalam program ini ialah TheLorry, platform logistik di darat; Billplz, platform pembayaran untuk organisasi dan Pandai, aplikasi ulangkaji pintar.
Terbuka kepada syarikat permulaan Malaysia buat masa ini, permohonan untuk menyertai program CLLA dibuka sehingga 30 Jun dan boleh diakses di https://www.cyberview.com.my/business/cyberview-living-lab/#Living-Lab-Acelerator.
“Di CLLA, kami mahu memastikan produk anda dapat bertahan dan berkembang, bukan hanya kekal tidak aktif untuk tempoh tertentu,” katanya.
Shafinaz berkata apabila menerima permohonan, kira-kira 20 hingga 25 syarikat permulaan akan disenarai pendek terlebih dahulu dan dipanggil untuk sesi ‘short pitching’ dengan panel Cyberview untuk mengecilkan senarai pendek akhir sebanyak lapan syarikat permulaan untuk program CLLA yang akan bermula pada pertengahan Julai.
“Selain bimbingan dan tunjuk ajar daripada pakar perniagaan, peserta akan didedahkan kepada bantuan pembiayaan daripada geran kerajaan dan rakan kongsi korporat,” katanya, sambil menambah Cyberview turut bekerjasama rapat dengan Cradle Fund Sdn Bhd, Malaysia Venture Capital Management Bhd (MAVCAP) dan Malaysian Debt Ventures Bhd untuk pembiayaan.
“Nilai CLLA ialah selain program bimbingan dan tunjuk ajar. Ia mengenai pembangunan ekosistem yang telah diraih oleh syarikat permulaan melalui rakan kongsi Cyberview serta kebolehcapaian mudah ke pasaran dan mengambil tenaga kerja,” katanya.
Sementara itu, Eksekutif Pemasaran MeDKAD Sdn Bhd Nurafiqah Rahim berkata syarikat MeDKAD merupakan alumni CLLA pada tahun 2018 dan sehingga kini telah menerima pelbagai manfaat termasuk idea untuk membina ekosistem yang mudah untuk industri teknologi kesihatan.
“Kami bermula daripada tiga staf dan kini mempunyai 60 staf termasuk tambahan subsidiari di bawah MeDKAD. Syarikat kami juga telah mencipta produk tempatan ‘Salixium’, kit ujian kendiri pantas antigen COVID-19 untuk sampel calitan air liur dan hidung,” katanya.
Ditubuhkan pada 2016 dan beribu pejabat di Shah Alam, Selangor, MeDKAD merupakan syarikat teknologi kesihatan yang memberi perkhidmatan kepada syarikat untuk menguruskan manfaat perubatan dengan lebih baik.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial