SEPANG, 18 Mei (Bernama) -- Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kongres Rakyat Kebangsaan (NPC) China ke-14, Zhao Leji tiba di sini hari ini untuk memulakan lawatan kerja tiga hari ke Malaysia.
Pesawat Air China membawa Zhao bersama delegasinya mendarat di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, pada 8.15 pagi ini.
Ketibaan mereka disambut Duta China ke Malaysia Ouyang Yujing, Timbalan Speaker Dewan Rakyat Alice Lau Kiong Yieng and Ketua Protokol Kementerian Luar Mohd Aini Atan.
Zhao kemudian memeriksa kawalan kehormat terdiri daripada 26 pegawai dan anggota Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja yang diketuai Kapten Mohd Hafeez Abdul Halim.
Malaysia merupakan negara terakhir Zhao dalam lawatan tiga negara selepas Maghribi dan Senegal.
Penggubal undang-undang tertinggi China itu dijadual mengadakan mesyuarat delegasi dua hala dengan Speaker Dewan Rakyat Datuk Johari Abdul dan Speaker Dewan Negara Tan Sri Dr Rais Yatim hari ini.
Ketika lawatannya, beliau dijadualkan menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan bertemu dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau juga akan ke Melaka sebagai sebahagian daripada lawatannya termasuk melawat Jonker Walk, Muzium Warisan Baba dan Nyonya serta Selat Melaka sebelum berlepas pulang ke Beijing pada Sabtu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial