DUNIA

Malaysia Alu-alukan Keputusan Liga Arab Terima Semula Keanggotaan Syria

09/05/2023 09:35 PM

PUTRAJAYA, 9 Mei (Bernama) -- Malaysia pada Selasa mengalu-alukan keputusan Liga Arab menerima semula penyertaan Syria selepas keanggotaannya digantung selama 12 tahun, menurut Kementerian Luar Malaysia (Wisma Putra).

Keputusan yang dicapai pada Mesyuarat Luar Biasa Menteri Luar Liga Arab di Kaherah pada Ahad adalah satu langkah konstruktif dalam mewujudkan persekitaran kondusif ke arah meningkatkan kehidupan rakyat di Syria serta memperkukuh keamanan, keselamatan dan kestabilan di rantau ini.

“Malaysia terus bersolidariti dengan rakyat Syria dan akan terus menyokong semua usaha ke arah mencari penyelesaian yang berkekalan dan aman bagi krisis Syria,” menurut Wisma Putra dalam satu kenyataan.

Menurut laporan media, negara-negara Arab bersetuju untuk mengembalikan semula keahlian Syria dalam Liga Arab selepas digantung selama 12 tahun ketika hubungan dengan Damsyik semakin pulih.

Keputusan untuk menerima semula keanggotaan Syria dibuat menjelang sidang kemuncak tahunan Arab di Arab Saudi pada 19 Mei.

Syria telah disingkirkan daripada Liga Arab selepas tindakan keras rejim Bashar al-Assad terhadap penunjuk perasaan pada Mac 2011 mengakibatkan perang saudara tercetus.

Beratus-ratus ribu orang terbunuh manakala berjuta-juta lagi hilang tempat tinggal akibat krisis yang berlanjutan lebih 12 tahun di Syria.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan