AM

Media Diminta Sahkan Maklumat, Sumber Sebelum Terbit Berita - Fahmi

01/05/2023 09:19 AM

KUALA LUMPUR, 30 April (Bernama) -- Semua pengamal media diminta supaya sentiasa mengesahkan maklumat dan sumber sebelum menerbitkan sesuatu berita agar tidak menimbulkan sebarang isu.

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil dalam catatan di akaun Facebooknya hari ini mengulang siar hantaran Datuk Seri Siti Nurhaliza Taruddin yang menafikan satu berita palsu mengaitkan dirinya dengan sebuah majlis politik di Kedah.

“Berita palsu ini tersebar sejak semalam dan telah menjadi fitnah yang merebak jauh ke pelbagai komuniti, malah ada yang percaya dan ada juga yang jadikannya bahan politik.

“Rakan-rakan media diingatkan agar sentiasa mengesahkan info dan sumber sebelum menerbitkan berita agar tidak timbul isu seperti ini. Tindakan undang-undang juga boleh diambil oleh agensi penguatkuasaan sekiranya didapati berlaku sebarang pelanggaran," kata Fahmi.

Siti Nurhaliza menerusi perkongsian di Instagram story, mendedahkan tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang menggunakan nama beliau dengan membuat akaun Facebook palsu dan menyebarkan kenyataan berhubung kehadirannya untuk memeriahkan sebuah majlis di Kedah yang didakwa majlis politik.

Kenyataan palsu itu kemudiannya digunakan sebuah portal hiburan untuk dijadikan bahan berita bertajuk ‘Siti Nurhaliza tak sangka rumah terbuka jadi majlis politik’ yang disiarkan hari ini.

"Siapalah yang pandai-pandai edit fake news ini, gunakan nama Facebook saya (yang verified) dan forward merata-rata dan yakinkan orang ini (adalah) posting sebenar. Ini fake.

“Cukuplah semua perkara nak dibuat macam ini. Saya ini penyanyi, hiburkan semua orang. Bulan Syawal ini, bulan jalinkan silaturrahim bukan buat sebarkan berita palsu," katanya menerusi ruangan Instagram.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan