AM

Ops Sudan: 30 Rakyat Malaysia Selamat Tiba Di Tanah Air Hari Jumaat

28/04/2023 09:22 PM

SEPANG, 28 April (Bernama) -- Tiga puluh rakyat Malaysia yang berjaya diselamatkan dari Khartoum, ibu negara Sudan, ketika negara itu dilanda konflik, selamat tiba di tanah air hari ini.

Mereka yang terdiri daripada pegawai Wisma Putra, pekerja Petronas dan pelajar, tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di sini kira-kira 2.54 petang melalui penerbangan Saudi Arabian Airlines SV834 dari Jeddah.  

Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Timbalan Menteri Luar Datuk Mohamad Alamin dan Ketua Setiausaha Kementerian Luar Datuk Seri Amran Mohamed Zin turut hadir menyambut ketibaan mereka di lapangan terbang itu.

Rakyat Malaysia itu adalah antara 194 rakyat pelbagai negara yang selamat tiba di Pangkalan Tentera Laut Raja Faisal pada kira-kira 1.54 pagi waktu Malaysia semalam, dengan menaiki kapal tentera laut Arab Saudi HMS Abha setelah menempuh perjalanan kira-kira sembilan jam dari Pelabuhan Sudan.

Lebih 400 orang dilaporkan terbunuh dan lebih 3,500 cedera ekoran konflik bersenjata antara Angkatan Tentera Sudan dan pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF) yang tercetus pada 15 April lepas.

Pada 25 April lepas, dilaporkan 30 rakyat Malaysia yang terkandas di Khartoum, selamat tiba di Pelabuhan Sudan pada 2.07 petang Isnin waktu Sudan (8.07 malam waktu Malaysia) setelah melalui perjalanan 30 jam menempuh jarak 1,233 kilometer.

Dilaporkan terdapat 32 rakyat Malaysia berada di Sudan iaitu di tujuh tempat berbeza dan pada 21 April lepas, dua rakyat Malaysia telah dibawa keluar dan dipindahkan ke tempat selamat.

Dua rakyat Malaysia itu merupakan individu yang berkhidmat dengan Misi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Sudan (UNMIS) di Abyei dan proses evakuasi mereka akan dilakukan oleh pihak PBB.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan