EKONOMI

Sunway Reit Rancang Pengambilalihan Di Uk, Jepun Dan Australia

27/04/2023 11:42 PM

PETALING JAYA, 27 April (Bernama) — Sunway REIT Management Sdn Bhd  menyasar mengembangkan kehadiran pasarannya dengan pengambilalihan di luar negara seperti di United Kingdom (UK), Jepun dan Australia dalam tempoh terdekat ini sejajar dengan strateginya seperti yang digariskan dalam pelan hala tuju TRANSCEND 2027 (TC2027).

Ketua pegawai eksekutifnya Datuk Jeffrey Ng berkata Sunway REITS telah beralih ke tahap dasar untuk melaksanakan proses tersebut memandangkan rangka kerja kini telah dibangunkan. 

Bagaimanapun, katanya, banyak pertimbangan perlu diambil kira seperti pertukaran mata wang dan ketelusan cukai. 

“Kami tidak akan tergesa-gesa dalam hal ini. Apabila dasar telah siap. kami akan mengusulkannya kepada lembaga untuk mendapatkan kelulusan. Kemudiannya barulah kami akan mulakan pengambilalihan di luar negara,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Agung Tahunan Ke-10 Sunway REIT, d sini, hari ini. 

Beliau berkata UK, Jepun dan Australia merupakan pasaran lebih maju bagi amanah pelaburan hartanah. Justeru, pengambilalihan luar negara akan menjadi strategi terbaik untuk membantu Sunway REIT mengembangkan nilai asetnya antara RM14 bilion dan RM15 bilion seperti yang diunjurkan dalam TC2027.  

Setakat 31 Dis, 2022, nilai hartanah Sunway REIT berjumlah RM9.1 bilion. Ia disenaraikan sebagai amanah pelaburan hartanah ketiga terbesar Malaysia dari segi permodalan pasaran. 

“Kami yakin berdasarkan kepada peluang yang datang namun (pada masa yang sama) kami melaksanakan pelan dengan berhemat,” kata Ng. 

Pada masa hadapan, katanya, Sunway REIT yakin dalam berhati-hati tentang tahun kewangan 2023, disokong oleh momentum pertumbuhan berterusan dalam segmen runcit dan hotel susulan pembukaan semula sepenuhnya sektor ekonomi dan sempadan antarabangsa. 

“Kami akan terus menumpukan kepada tawaran tokokan nilai dalam segmen hotel bagi pengembara domestik dan antarabangsa untuk mengembangkan pasaran,” katanya. 

-- BERNAMA

 

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan