AM

Jknt Keluar 222 Notis Kompaun Kepada Peniaga Bazar Ramadan

16/04/2023 03:23 PM

KUALA TERENGGANU, 16 April (Bernama) -- Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) mengeluarkan 222 notis kompaun terhadap penyedia makanan di bazar Ramadan seluruh negeri bermula hari pertama Ramadan sehingga 14 April lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Datuk Dr Alias Razak berkata ia melibatkan jumlah kompaun RM24,800 atas pelbagai kesalahan seperti tidak memakai apron, tidak menjaga kebersihan diri dan tidak mengikuti latihan pengendali makanan seperti yang disyaratkan.

Beliau berkata kesalahan lain termasuk menggaji pengendali makanan tiada latihan dan suntikan typhoid dan lain-lain yang menyalahi Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 dan Akta Makanan 1983 (Akta 281).

"Sebanyak 3,431 pemeriksaan telah dijalankan di 57 lokasi bazar Ramadan di seluruh negeri ini. Kesalahan terbanyak tidak memakai apron iaitu 113 notis dan tidak menjaga kesihatan diri sebanyak 49 notis," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Dr Alias turut mengingatkan para peniaga supaya mematuhi larangan pengoperasian bazar Aidilfitri pada malam 1 Syawal bagi memberi laluan kepada kerja-kerja pembersihan sebelum menjelang Aidilfitri.

Ia juga memberi peluang kepada 2,224 petugas pembersihan awam di negeri ini mendapat rehat yang cukup selepas setiap hari terpaksa bertugas dari siang hingga ke malam untuk menguruskan sampah sarap sepanjang Ramadan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan