KUALA LUMPUR, 29 Mac (Bernama) -- Sektor insurans dan takaful pada masa hadapan dijangka kekal berdaya tahan, disokong oleh kedudukan modal dan mudah tunai yang kukuh.
Menurut Bank Negara Malaysia (BNM) dalam Tinjauan Kestabilan Kewangan Separuh Tahun Dua 2022 (ST2 2022) yang dikeluarkan hari ini berkata nisbah kecukupan modal agregat industri sebanyak 226 peratus kekal jauh melebihi keperluan minimum pengawalseliaan sebanyak 130 peratus.
“Penampan modal melebihi keperluan pengawalseliaan berjumlah RM37.5 bilion. Ujian tekanan makro yang dijalankan oleh Bank juga mengesahkan bahawa di bawah senario buruk, kebanyakan penanggung insurans akan kekal berdaya tahan dengan penampan modal yang mencukupi,” katanya.
Menurut BNM, pada separuh kedua tahun 2022, keuntungan keseluruhan dana insurans dan takaful bertambah baik berbanding awal tahun disebabkan oleh pulangan pelaburan yang lebih baik.
“Dana insurans hayat dan takaful keluarga mencatatkan keuntungan tidak direalisasi bersih yang lebih tinggi daripada pelaburan apabila kadar hasil bon jatuh dan pasaran ekuiti bertambah baik terutamanya menjelang akhir tahun 2022, justeru ia menyebabkan lebihan pendapatan berbanding perbelanjaan menjadi positif.
“Bagaimanapun, pada keseluruhan tahun, keuntungan dana insurans hayat dan takaful keluarga kekal di bawah paras sebelum pandemik sekali gus mencerminkan keadaan pasaran kewangan yang tidak menentu terutamanya pada separuh pertama tahun 2022,” katanya.
BNM mendedahkan bahawa prestasi pengunderaitan terjejas teruk oleh kenaikan bayaran perubatan iaitu sebanyak RM4.3 billion pada separuh tahun kedua 2022 berbanding RM3.5 billion pada separuh tahun pertama 2022.
Keadaan itu didorong terutamanya oleh peningkatan tuntutan berkaitan prosedur perubatan yang perlu dan elektif yang telah ditangguhkan semasa pandemik serta inflasi perubatan.
Pembayaran perubatan pada masa depan dijangka terus meningkat seiring dengan kos rawatan perubatan dan normalisasi pola tuntutan kepada trend jangka panjang.
Bagi dana insurans dan takaful am, keuntungan operasi pada separuh kedua tahun 2022 bertambah mantap didorong oleh prestasi pengunderaitan dan pelaburan yang lebih kukuh.
“Keuntungan pengunderaitan yang lebih tinggi mencerminkan ketiadaan tuntutan besar yang dicatatkan pada separuh pertama tahun 2022 susulan banjir teruk pada akhir 2021,” katanya.
Sementara itu, premium langsung kasar terus disokong oleh pertumbuhan berterusan dalam premium motor berikutan peningkatan kenderaan yang dikeluarkan untuk memenuhi tempahan yang dibuat semasa tempoh pengecualian cukai jualan.
Segmen kebakaran juga mencatatkan penurunan premium yang lebih kecil pada separuh kedua tahun 2022 berbanding dengan tahun 2021 berikutan pemulihan dalam aktiviti pasaran harta tanah, katanya.
Susulan daripada sumbangan besar oleh kedua-dua perniagaan utama tersebut kepada prestasi pengunderaitan, liberalisasi tarif insurans berkenaan yang sedang dilaksanakan secara beransur-ansur akan memberikan kesan yang penting kepada prestasi masa hadapan, kata BNM.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial