AM

PAAB BANTU MERIAHKAN RAMADAN DAN SYAWAL DUA RUMAH KEBAJIKAN ANAK YATIM

12/04/2023 06:40 PM

KUALA LUMPUR, 12 April (Bernama) -- Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB), syarikat milik penuh Menteri Kewangan (Diperbadankan), hari ini menyalurkan sumbangan bagi memeriahkan Ramadan dan Syawal penghuni dua rumah kebajikan anak yatim dengan nilai keseluruhan berjumlah RM20,000.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif PAAB Zulkiflee Omar berkata sumbangan menerusi program  tanggungjawab sosial korporat PAAB Prihatin itu disalurkan kepada Pertubuhan Kebajikan Asnaf An-Naafi Kuala Lumpur dan Pusat Jagaan Telaga Kasih Nur Muhammad membabitkan 71 anak yatim.

Beliau berkata sumbangan itu termasuk cek berjumlah RM3,000 bagi setiap pertubuhan, baucar beli belah bernilai RM150 setiap seorang, sumbangan pek juadah berbuka dan duit raya RM50.

"PAAB berharap sumbangan ini dapat membantu Pertubuhan Kebajikan Asnaf An-Naafi Kuala Lumpur dan Pusat Jagaan Telaga Kasih Nur Muhammad mengharungi cabaran pada bulan Ramadan serta meringankan beban mereka untuk melakukan persiapan dan membeli barangan kelengkapan menjelang bulan Syawal tidak lama lagi.

“Semoga usaha kecil PAAB ini dapat memberikan kegembiraan dan mengukir senyuman kepada 71 anak yatim supaya mereka tidak berasa dipinggirkan menjelang Aidilfitri,” katanya pada majlis penyerahan sumbangan PAAB Prihatin sempena Ramadan dan Syawal di sini hari ini.

Zulkiflee berkata PAAB turut menganjurkan kempen Shop & Share yang menggalakkan setiap kakitangannya menyumbangkan satu daripada barangan runcit mereka kepada anak yatim terbabit.

Beliau berkata antara yang berjaya dikumpulkan ialah barangan penjagaan diri, tuala wanita, keperluan dapur, pek minuman dan pakaian terpakai dengan nilai anggaran melebihi RM5,000.

Pengasas Pertubuhan Kebajikan Asnaf An-Naafi Kuala Lumpur Aishah Mohamed pula menzahirkan ucapan terima kasih atas sumbangan PAAB Prihatin kerana rumah kebajikan itu pernah terputus dana selepas menjadi mangsa pemalsuan maklumat akaun bank.

Beliau berkata tahun lepas, terdapat pihak tidak bertanggungjawab menggunakan maklumat rumah kebajikan itu seperti nama, gambar penghuni dan nombor akaun bank palsu untuk meraih sumbangan daripada orang ramai.

“Jadi bila orang sudah bagi sumbangan, orang pergi tempat dekat Kedah (tetapi) ia tidak wujud… orang akan anggap kita ini scammer, kita dilapor sebagai scammer… waktu itu, keadaan kita memang sedih sangat sampai anak-anak (jagaan) sudi datang bagi tabung (simpanan) kepada saya untuk belanja sekolah, minyak van dan sebagainya,” katanya yang sudah membuat laporan polis berhubung kes itu.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan