AM

TUNTUTAN KUMPULAN SULU: RM31 JUTA BAGI PENGENDALIAN KES MAHKAMAH

16/02/2023 06:14 PM

KUALA LUMPUR, 16 Feb (Bernama) -- Kira-kira RM31 juta dibelanjakan kerajaan bagi pengendalian kes mahkamah di empat negara menghadapi tuntutan yang difailkan kumpulan Sulu terhadap Malaysia bermula 20 Nov 2019 hingga 20 Januari lepas.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said memaklumkan jumlah tersebut melibatkan kos perkhidmatan peguam antarabangsa, prosiding mahkamah, terjemahan, penyelidikan sejarah dan perundangan.

"Secara khususnya fi guaman dan bayaran sahaja sebanyak RM36,000 (2019), RM167,000 (2020), RM8.2 juta (2021), RM13.5 juta (2022) dan RM5.4 juta (2023) bagi pengendalian kes mahkamah di empat negara iaitu Sepanyol, Perancis, Luxembourg dan Belanda," katanya menerusi jawapan yang disiarkan di laman sesawang Parlimen.

Beliau menjawab soalan Lim Lip Eng (PH-Kepong) berhubung kos guaman yang terlibat dalam tuntutan kumpulan Sulu terhadap Malaysia.

Selain itu, Azalina memaklumkan keputusan permohonan rayuan kerajaan Malaysia terhadap Perintah Mahkamah Perancis bertarikh 29 Sept 2022 dijangka dikeluarkan pada Jun ini dengan pendengaran permohonan rayuan itu telah berlangsung pada 6 Feb lepas di Mahkamah Rayuan Perancis. 

Kumpulan Sulu sebelum ini dilaporkan membawa tindakan undang-undang ke Mahkamah Sepanyol untuk mendapatkan pampasan terhadap tanah di Sabah, yang didakwa telah dipajak oleh nenek moyang mereka kepada sebuah syarikat perdagangan British pada 1878.

Pada 28 Feb 2022, penimbang tara Dr Gonzalo Stampa dilapor telah memberikan final award kepada penuntut sebanyak US$14.92 bilion.

Bagaimanapun, Mahkamah Perancis telah menangguhkan penguatkuasaan final award yang diberikan Stampa sementara menunggu keputusan mahkamah berhubung segala tindakan perundangan yang diambil oleh Kerajaan Malaysia.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan