AM

KPDN rampas lebih 3,000 unit alat ganti kenderaan tiruan RM240,792

16/02/2023 12:10 AM

PUTRAJAYA, 15 Feb (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) merampas sebanyak 3,043 unit alat ganti kenderaan jenama Hyundai dan KIA disyaki tiruan bernilai RM240,792 dalam dua serbuan berasingan di Batu Caves, Selangor dan Cheras, Kuala Lumpur, minggu lepas.

Ketua Pengarah Penguatkuasa KPDN, Datuk Azman Adam, berkata dalam serbuan 7 Feb lalu, alat ganti tersebut ialah penapis minyak, penapis angin dan tali sawat.

Beliau berkata serbuan oleh sepasukan penguat kuasa KPDN Putrajaya itu adalah berdasarkan risikan awal yang dilakukan beberapa hari sebelum serbuan selepas menerima aduan daripada pemilik cap dagangan berdaftar barangan terbabit.

Katanya, pegawai penguat kuasa menahan dua lelaki tempatan berusia 30 dan 40 tahun yang masing-masing mengaku sebagai pemilik premis berkenaan serta menyita beberapa dokumen perniagaan.

“Individu berkenaan ditahan bagi membantu siastaan mengikut Seksyen 102(1)(c) Akta Cap Dagangan 2019,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Akta berkenaan memperuntukkan denda sehingga RM10,000 bagi setiap barang tiruan atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali, manakala bagi kesalahan kedua dan seterusnya denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Beliau menasihatkan pengguna agar sentiasa berhati-hati ketika membeli alat ganti kenderaan sama ada di premis atau secara dalam talian selain tidak menyokong sebarang aktiviti penjualan barangan tiruan kerana dikhuatiri boleh mengakibatkan kerugian serta menjejaskan keselamatan.

Sementara itu, Azman berkata pihaknya menumpaskan aktiviti penyelewengan minyak diesel bersubsidi dalam satu serbuan di Kampung Balik, Bukit, Tasek, Simpang Ampat, Pulau Pinang, kelmarin.

Dalam serbuan jam 2 pagi itu, katanya, anggota penguat kuasa dari KPDN Putrajaya menyita 22,00 liter minyak diesel selain sebuah lori tangki, dua lori bertutup kanvas, beberapa tangki yang kosong dan berisi minyak diesel dan beberapa peralatan lain yang digunakan untuk kegiatan penyelewengan.

“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM161,00 manakala lima lelaki berusia 35 hingga 45 tahun berada di premis berkenaan, dipercayai sedang melakukan  aktiviti pemindahan diesel, ditahan,” katanya.

Menurutnya, pihak premis gagal mengemukakan sebarang dokumen yang sah dan siasatan dijalankan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan