Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar
JAKARTA, 2 Feb (Bernama) -- Indonesia kini siap sedia untuk menjadi tuan rumah beberapa siri mesyuarat Pemukiman Menteri-menteri Luar ASEAN (AMM) di Sekretariat ASEAN di sini dari 2 hingga 4 Feb.
Menteri Luar Indonesia Retno Marsudi akan mempengerusikan Pemukiman AMM pada 4 Feb, mesyuarat pertama Menteri-menteri Luar ASEAN di bawah kepimpinan Indonesia selaku Pengerusi ASEAN pada 2023.
Dalam satu kenyataan, Kementerian Luar memaklumkan Pemukiman AMM akan dimulakan dengan Mesyuarat Pegawai Kanan ASEAN pada hari ini (Khamis) diikuti mesyuarat Majlis Penyelaras ASEAN ke-32 pada esok (Jumaat).
Dalam siri mesyuarat ini, beberapa agenda akan dibincangkan termasuk keutamaan kepemimpinan Indonesia dan mengambil tindakan susulan yang telah dicapai pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-40 dan ke-41 pada 2022.
“Indonesia akan menggalakkan kerjasama ASEAN yang lebih kukuh dalam menyahut pelbagai cabaran serantau dan global seperti persaingan geopolitik, kesan berterusan pandemik dan bencana alam, krisis kewangan, krisis tenaga serta krisis makanan.
"Indonesia meneruskan keazamannya untuk mengekalkan kestabilan dan keamanan di rantau Indo-Pasifik menerusi paradigma kerjasama," menurut kementerian itu.
ASEAN Outlook mengenai Indo-Pasifik (AOIP), satu inisiatif yang diperkenalkan Indonesia yang bertujuan untuk mengekalkan kestabilan serantau melalui perkongsian, dialog dan kerjasama telah pun diterima pakai oleh pemimpin ASEAN pada Jun 2019
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial