DUNIA

SINGAPURA: REMAJA 18 TAHUN RANCANG LETUP KUBUR HABIB NOH DITAHAN DI BAWAH ISA

01/02/2023 10:02 PM

SINGAPURA, 1 Feb (Bernama) -- Seorang pelajar warga Singapura berusia 18 tahun ditahan pada Disember 2022 di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) ketika dia merancang dan membuat persediaan melakukan keganasan bersenjata di Singapura dan luar negara.

Menurut Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) republik itu, warga Singapura itu menjadi radikal setelah menonton propaganda ISIS di Iraq dan Syria menerusi laman sesawang atas talian.

Remaja itu turut merancang melakukan serangan bom ke atas tapak perkuburan Habib Noh di Masjid Haji Muhammad Salleh, yang dipercayainya sebagai “tidak selaras dengan Islam”.

"Dia turut memuat turun manual pembuatan bom C4 dalam talian, berhasrat untuk membina bahan letupan buatan sendiri untuk meratakan kubur itu," menurut jabatan itu dalam satu kenyataan yang dikeluarkan menerusi laman sesawang Kementerian Dalam Negeri pada Rabu.

Remaja itu mula bersikap radikal pada 2020 selepas menonton video ceramah dua pendakwah asing ekstrem di Youtube.

Pada akhir 2021, remaja itu juga menyatakan hasrat untuk hidup di bawah pemerintahan khalifah Islam yang ditadbir oleh syariah (undang-undang Islam).

Untuk tujuan ini, ISD mendedahkan bahawa dia mahu menubuhkan khalifahnya sendiri di Singapura dan merekrut orang Islam untuk menyertainya.

Hasil siasatan setakat ini menunjukkan bahawa remaja itu bertindak bersendirian dan tidak ada petunjuk bahawa dia berjaya merekrut orang lain manakala ahli keluarganya tidak mengetahui rancangan atau niatnya untuk melakukan keganasan bersenjata di luar negara, menurut ISD.

Dalam kes ini, ISD memaklumkan remaja berkenaan sangat radikal sehingga ke tahap bersedia untuk melakukan keganasan bersenjata di Singapura dan di luar negara dan sanggup membunuh dan mati untuk ISIS.

“Penilaian kami bahawa dia telah menjadi ancaman keselamatan dan dia ditahan di bawah ISA,” menurut ISD.

Jabatan itu menjelaskan bahawa kesnya menonjolkan daya tarikan berterusan terhadap ideologi ganas ISIS.

"Kes ini juga menggariskan bahawa terdapat trend radikalisasi dalam kalangan belia sejak beberapa tahun kebelakangan ini, dan ancaman serangan oleh penyerang persendirian dengan menggunakan senjata yang mudah diakses," menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan