EKONOMI

Keuntungan bersih Pavilion REIT naik 217.6 peratus kepada RM397.80 juta

31/01/2023 09:14 PM

KUALA LUMPUR, 31 Jan (Bernama) -- Keuntungan bersih Pavilion Real Estate Investment Trust (Pavilion REIT) bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis 2022 meningkat 217.6 peratus kepada RM397.80 juta berbanding RM125.24 juta pada tahun kewangan 2021.

Perolehan menokok 17 peratus kepada RM569.69 juta daripada RM488.59 yang dicatatkan semasa tahun sebelum ini, disumbangkan terutamanya oleh bil sewa yang lebih tinggi, peningkatan pendapatan serta perolehan daripada acara pengiklanan dan pemasaran selepas semua sektor ekonomi termasuk perniagaan disambung semula pasca pandemik. 

Syarikat itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata pendapatan selepas cukai juga bertambah sebanyak 217.6 peratus atau RM272.6 juta kepada RM397.8 juta menjadikan pendapatan boleh diagih tahunan mencecah RM255.8 juta atau 8.37 sen seunit.

Agihan sebanyak 4.29 sen seunit akan dibayar menjelang 28 Feb 2023, katanya. 

Bagi suku keempat tahun kewangan 2022, pendapatan selepas cukai Pavilion REIT meningkat 304 peratus daripada RM53.6 juta kepada RM216.4 juta, manakala jumlah hasil kasar melonjak sebanyak 17.3 peratus kepada RM145.8 juta berbanding suku yang sama pada tahun sebelumnya iaitu pada RM124.3 juta.

Pertambahan ini disebabkan oleh bil sewa yang lebih tinggi, peningkatan sewa hasil dan pendapatan daripada pengiklanan, katanya.

Melangkah ke hadapan, Pavilion REIT Management Sdn Bhd menjangkakan jualan runcit akan kembali normal apabila pengguna di Malaysia terus berhati-hati dalam perbelanjaan mereka berikutan ketidaktentuan dalam ekonomi domestik serta global yang berpunca daripada tekanan inflasi, kenaikan kos sara hidup dan unjuran kelembapan ekonomi antarabangsa. 

"Walaupun menghadapi cabaran-cabaran ini, diramalkan permintaan domestik akan memacu ekonomi di tengah-tengah pemulihan pasaran buruh yang stabil serta pengukuhan sektor berkaitan pelancongan yang membawa kepada peningkatan pendapatan korporat," katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif firma pengurusan itu, Datuk Philip Ho berkata pusat membeli-belah Pavilion REIT akan terus meningkatkan gabungan runcitnya serta mewujudkan pengalaman mendalam selain merangsang interaksi pembeli. 

"Melalui kempen perayaan serta bertema, kerjasama antarabangsa, pengalaman pertama di Malaysia, perkongsian penyewa yang lebih kukuh, penampilan selebriti termasuk ganjaran, pusat beli-belah Pavilion REIT akan dapat menghidupkan semula minat untuk membeli-belah, makan dan beriadah di Malaysia kepada pengunjung," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan