KIGALI, 27 Jan (Bernama) -- Pengarah Urusan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) Kristalina Georgieva memuji dasar dan pelaksanaan pembaharuan yang berterusan bagi menangani perubahan iklim oleh pihak berkepentingan di Rwanda, lapor Xinhua.
"Saya kagum dengan kedinamikan dan kreativiti golongan belia Rwanda yang menyokong tindakan iklim dan pemuliharaan alam sekitar, dan usahawan menggunakan kepintaran mereka untuk membawa penyelesaian mesra iklim untuk hari yang mendatang," katanya selepas bertukar-tukar pandangan dengan golongan belia, wanita, masyarakat sivil Rwanda , dan usahawan lestari di Kigali pada Khamis.
Disember lalu, Rwanda diumumkan sebagai negara pertama di Afrika yang memperoleh akses kepada pinjaman IMF bernilai US$319 juta di bawah Kemudahan Daya Tahan dan Kelestarian, bagi menyokong agenda negara itu untuk membina persekitaran yang berdaya tahan terhadap perubahan iklim.
Dalam satu kenyataan pada akhir lawatan tiga harinya ke Rwanda, Georgieva berkata ini adalah bukti prestasi kukuh Rwanda dalam dasar dan pelaksanaan pembaharuan yang berterusan.
Menyedari bahawa perubahan iklim adalah isu kecemasan global yang merentasi sempadan negara, Georgieva berkata beliau mendengar dengan jelas seruan Rwanda untuk menjalin kerjasama dan penyelarasan antarabangsa yang lebih kukuh demi menangani cabaran itu.
Beliau menyeru kerjasama di peringkat antarabangsa dan penyelesaian yang diselaraskan kepada cabaran iklim, termasuk menggerakkan pembiayaan yang diperlukan.
Kemudahan Ketahanan dan Kelestarian adalah untuk membantu negara berpendapatan rendah dan sederhana menangani perubahan struktur jangka panjang seperti perubahan iklim dan persediaan menghadapi wabak.
"Kami berharap agar Rwanda menjadi contoh utama bagaimana pembiayaan kos rendah jangka panjang daripada IMF boleh membantu Afrika mengurangkan kesan perubahan iklim," kata Georgieva.
Semasa di Rwanda, Georgieva turut mengadakan perbincangan dengan penggubal dasar dari Komuniti Afrika Timur tentang cara IMF menjadi rakan kongsi yang lebih berkesan untuk membantu rantau ini keluar daripada pelbagai krisis dan membina ekonomi yang lebih berdaya tahan, inklusif dan lebih lestari.
--BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial