AM

Bahan mentah jualan murah AKM Pahang licin dijual

30/10/2022 04:38 PM

Oleh Siti Alya Nadiah Ismail

KUANTAN, 30 Okt (Bernama) -- Jualan Murah Keluarga Malaysia (JMKM) yang dianjurkan sempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) di perkarangan Stadium Darul Makmur, di sini menerima sambutan menggalakkan apabila barang mentah dijual licin dibeli pengujung. 

Tinjauan Bernama mendapati reruai JMKM bahan mentah seperti ayam, ikan dan telur telah habis dijual setakat 12 tengah hari tadi manakala sambutan memberangsangkan diterima oleh reruai barang keperluan seperti beras, gula, dan minyak masak apabila pengunjung beratur untuk mendapatkannya. 

Pengurus Pemasaran MG Coop Mart (Koperasi Muafakat Makmur Berhad) Abdullah Jantan berkata pihaknya membawa bekalan ayam sebanyak 1,500 ekor pada Jumaat, namun semalam terpaksa menambah kira-kira 300 ekor lagi bagi memenuhi permintaan selain telur yang dibawa lebih 1,200 papan habis dijual hari ini. 

“Memang tidak sangka sama sekali sambutan amat menggalakkan sehingga terpaksa menambah barang untuk dijual,” katanya ketika ditemui Bernama 

Menurutnya, seekor ayam anggaran berat 1.8 kilogram (kg) hingga 2kg dijual dengan harga RM10 manakala telur gred E dan gred B dijual dengan harga masing-masing RM9.50 dan RM10.90 sepapan. 

Sementara itu, Pelukis Pelan, Nor Salam Mohd Zin, 33, yang menetap di Nilai, Negeri Sembilan berkata beliau yang kebetulan pulang ke kampung di sini, turut tidak melepaskan peluang berkunjung ke AKM dan membeli barangan keperluan dengan harga murah. 

“Barang di sini murah sehingga 30 peratus berbanding dengan jualan biasa, ini merupakan inisiatif yang baik untuk membantu rakyat ketika harga barangan melonjak naik,” katanya dan berharap program seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang terutama di kawasan luar bandar. 

Penjawat awam Khairiyah Wan Yahaya, 33, berkata inisiatif jualan murah ini sangat membantu rakyat yang memerlukan bagi meringankan beban ketika harga barangan di negara ini semakin meningkat. 

“Penjimatan beli barang di sini antara RM20 hingga RM30, harga memang kurang banyak dan kita boleh jimat,” katanya. 

Bagi Pensyarah Zarina Dolma’min, 43, berkata barang keperluan seperti minyak yang dijual dengan harga RM25 bagi 5kg di JMKM boleh membantu keluarga yang memerlukan sekali gus menjimatkan perbelanjaan harian. 

“Harap kerajaan yang akan dibentuk selepas ini teruskan program seumpama ini supaya dapat membantu rakyat yang kurang mampu membeli barang keperluan asas dengan harga murah,” katanya.  

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan