GUA MUSANG, 23 Okt (Bernama) -- Dua beradik warga Perancis memilih Malaysia sebagai permulaan kembara berbasikal merentasi kira-kira 20 negara Asia dan Eropah untuk kembali ke negara asal mereka.
Paul Cimetière, 26, berkata beliau yang sebelum ini bekerja di Jerman manakala adik perempuannya, Coline, 25, di Kemboja merancang memulakan kembara itu kira-kira setahun lepas namun impian berkenaan hanya berjaya dilaksanakan apabila masing-masing berhenti kerja.
“Kami telah berhenti kerja jadi kami tidak terikat dengan apa-apa (untuk melakukan kembara). Kami memikirkan selama setahun untuk memulakan kembara berbasikal ini,” kata Paul yang turut disertai Coline ketika ditemui di Taman Tasik Gua Musang di sini hari ini.
Paul berkata memandangkan setiap negara Asia mempunyai skala yang lebih luas berbanding negara Eropah, mereka berkemungkinan memerlukan sekurang-kurangnya enam bulan sebelum bergerak ke Eropah.
Beliau berkata mereka telah memulakan kembara berkenaan sejak 13 hari lepas melibatkan kayuhan sejauh 847 kilometer merentasi Pahang dan Terengganu sebelum tiba di Gua Musang malam tadi.
Menurut Paul kembara itu yang seterusnya bersambung ke Jeli hari ini bukan bertujuan mencipta rekod dunia sebaliknya hanya ingin meluangkan masa bersama adiknya bagi mencipta kenangan bersama.
“Kami akan sangat gembira sekiranya berjaya pulang ke Perancis dengan berbasikal kerana ia satu cabaran hebat bukan sekadar melibatkan fizikal dan mental malah menikmati pengembaraan yang hebat.
“Kami adik-beradik, jadi kami merancang hanya untuk menikmati perjalanan bersama dan tidak berniat untuk memecahkan sebarang rekod," katanya.
Menurut Paul, mengikut perancangan, selepas ini mereka akan merentasi Thailand, Kemboja, Vietnam dan Laos sebagai sebahagian laluan kembara terbabit.
“Bergantung kepada laluan yang kami akan rentasi, boleh jadi keseluruhannya melibatkan antara 15 dan 20 negara sebelum tiba di Perancis,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial