AM

BEKALAN HASIL LAUT MENCUKUPI PADA MUSIM TENGKUJUH

19/10/2022 04:14 PM

KOTA TINGGI, 19 Okt (Bernama) -- Jabatan Perikanan memberi jaminan bahawa bekalan harian hasil laut negara adalah mencukupi semasa musim tengkujuh tahun ini.

Ketua Pengarah Perikanan Malaysia Datuk Mohd Sufian Sulaiman berkata pihaknya juga terus giat menjalankan pelbagai program bagi mengukuhkan lagi jaminan itu, antaranya dengan terus melabuhkan tukun dalam usaha menambah sumber hasil laut.

Beliau berkata pihaknya dengan kerjasama Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) juga telah memaklumkan kepada penternak ikan sangkar dan kolam agar sentiasa bersedia untuk mengeluarkan hasil laut mereka sekiranya berlaku banjir.

“Penternak kolam dan sangkar perlu bersedia, mana-mana hasil laut seperti ikan, udang yang sudah sedia untuk dikeluarkan atau harvest, perlu dikeluarkan sekarang, bagi mengelakkan mereka daripada mengalami kerugian.

“Jadi bila dikeluarkan (hasil laut), bekalan itu ada, bagi saya tiada isu yang ketara berhubung ketiadaan bekalan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Sijil Malaysia Good Agricultural Practice (MyGAP) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Mas, di sini hari ini.

Sementara itu Mohd Sufian berkata SMK Bandar Mas yang mempunyai pusat penetasan ikan, merupakan sekolah pertama di negara ini yang menerima sijil MyGAP daripada Jabatan Perikanan Malaysia.

Beliau berkata MyGAP yang sebelum ini kenali sebagai Skim Pensijilan Ladang Akuakultur Malaysia (SPLAM), bermatlamat memastikan penghasilan produk akuakultur selamat dimakan, berkualiti, tanpa memudaratkan persekitaran dan kebajikan haiwan, serta mematuhi keperluan keselamatan dan kesihatan pekerjaan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan