EKONOMI

MAVCOM PERTINGKAT USAHA LINDUNGI PENGGUNA, TAMBAH BAIK MACPC

20/10/2022 01:16 PM

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) telah menerbitkan kertas rundingan mengenai cadangan pindaan terhadap Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia (MACPC).

MAVCOM dalam satu kenyataan hari ini berkata cadangan-cadangan pindaan terhadap MACPC termasuk perlindungan berkaitan bayaran balik, hak-hak penumpang, pas perjalanan serta penerbangan yang dikeluarkan daripada sistem tempahan syarikat penerbangan disebabkan pembatalan penerbangan.

Pengerusi Eksekutif MAVCOM, Datuk Seri Saripuddin Kasim berkata suruhanjaya itu buat pertama kalinya telah menganjurkan webinar penerbangan antarabangsa pada 28 Jun 2022, ia membincangkan perkembangan terkini mengenai perlindungan penerbangan global serta trend masa hadapan bersama-sama barisan pakar daripada industri penerbangan dan perlindungan pengguna sedunia.

Webinar berkenaan serta penglibatan bersama pihak berkepentingan dan analisis dilakukan terhadap aduan yang dikemukakan kepada MAVCOM telah memberikan cadangan mengenai perkara-perkara dalam MACPC yang perlu diperhalusi dan ditambah baik, katanya.

Sejak MACPC berkuat kuasa pada tahun 2016, syarikat-syarikat penerbangan dikehendaki membayar balik pengguna penerbangan sekiranya penerbangan dibatalkan atau pelan penerbangan diubah dengan ketara.

Salah satu penambahbaikan yang dicadangkan terhadap MACPC 2022 adalah bayaran balik dalam kaedah pembayaran asal bagi penerbangan yang tergendala.

 Peruntukan baharu itu akan memastikan pembayaran balik yang konsisten kepada pengguna penerbangan.

Selain itu, MAVCOM turut mencadangkan bahawa syarikat penerbangan harus jua menawarkan pilihan bayaran balik dalam cara pembayaran asal sekiranya penerbangan ditangguhkan.

Kertas rundingan tersebut turut menampilkan cadangan peruntukan baharu untuk melindungi pengguna penerbangan yang telah membuat pembayaran terlebih dahulu bagi tiket penerbangan atau pas perjalanan, ia terpakai sekiranya syarikat penerbangan tidak dapat melaksanakan perkhidmatan seperti yang dijanjikan, seandainya berlaku krisis kewangan seperti penstrukturan semula hutang, pembubaran atau isu pelesenan.

“Apabila syarikat penerbangan menjangkakan gangguan kepada operasinya, cadangan pindaan baharu suruhanjaya ini menghendaki syarikat penerbangan memaklumkan dan menyerahkan pelan yang memperincikan penyelesaian pembayaran balik kepada pengguna,” katanya.

Penambahbaikan MACPC dijadual akan dilaksanakan pada suku pertama tahun 2023, sehubungan itu orang ramai diminta memberi cadangan terhadapnya, kata MAVCOM.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan