POLITIK

PRU15: UMNO, BN ADA KELEBIHAN DAN KEKUATAN MESKIPUN BERGERAK SOLO

14/10/2022 12:22 PM

PUTRAJAYA, 14 Okt (Bernama) -- UMNO dan Barisan Nasional (BN) mempunyai kelebihan serta kekuatan dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) meskipun bergerak solo kali ini, kata Bendahari UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor. 

Ketua UMNO Bahagian Putrajaya itu berkata rakyat akan terus memberi sokongan kepada UMNO dan BN kerana gabungan itu mempunyai matlamat dan hala tuju jelas dalam membangunkan negara ini selain ada rekod pencapaian yang baik. 

“Kalau rakyat imbas kembali apa yang telah dilakukan oleh BN…mereka akan beri sokongan terus kepada BN.

“BN adalah parti yang berbilang kaum, berbilang budaya dan multi etnik dan ia merupakan parti semua masyarakat dalam Malaysia tidak kira Melayu, Cina atau India,” katanya kepada Bernama.

Semalam, Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata UMNO dan BN memutuskan untuk bergerak secara solo bagi menghadapi PRU15 susulan keputusan PAS untuk memperkukuh kerjasama dalam Perikatan Nasional (PN).

Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang dilapor berkata parti itu memutuskan untuk memperkukuh kerjasama dalam PN atas prinsip penyatuan ummah dan perkara tersebut dicapai dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat semalam.

Mengulas kerjasama PAS dan Bersatu itu, beliau berkata pihaknya menghormati pilihan yang dibuat oleh PAS.

“Itu dia (PAS) punya pilihan… kita hormati pilihan dan harap dia berjaya, dulu kita ada kaedah ingin satukan semua melalui Muafakat Nasional tetapi ia tidak kesampaian, jadi kita sendiri dulu,” katanya.

Mengenai gerak kerja dalam menghadapi PRU15, Tengku Adnan berkata UMNO Putrajaya telah melakukan persediaan rapi dan hanya menunggu tarikh-tarikh penting PRU15 yang akan diumumkan Suruhanajaya Pilihan Raya (SPR).

Ditanya sama ada beliau akan bertanding di Parlimen Putrajaya pada PRU15 ini, Tengku Adnan yang juga penyandang kerusi P125 itu hanya menjawab: “Insya-Allah”.

Pada PRU14, Tengku Adnan mengekalkan kerusi Parlimen Putrajaya apabila menang dengan majoriti 3,372 undi mengalahkan calon PAS Zainal Abidin Kidam dan PKR Datuk Dr Samsu Adabi Mamat.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan