POLITIK

MB Perlis mohon menghadap Raja Perlis berhubung pembubaran DUN

13/10/2022 03:37 PM

KANGAR, 13 Okt (Bernama) -- Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man telah mengemukakan permohonan untuk menghadap Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail bagi mendapat perkenan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis.

“Tarikh bagi mengadap Raja Perlis merupakan hak mutlak baginda. Kita tunggu dan dengar apa titah tuanku (Raja Perlis) nanti berhubung pembubaran DUN Perlis,” katanya kepada pemberita selepas persidangan DUN Perlis di Kompleks DUN di sini, hari ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran Parlimen ke-14 berkuat kuasa 10 Okt untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) selepas diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Susulan pembubaran Parlimen ke-14, Perdana Menteri turut mengesyorkan ketua kerajaan negeri kecuali Sabah, Sarawak, Melaka dan Johor agar mendapatkan perkenan Sultan serta Yang Dipertua Negeri untuk membubarkan DUN masing-masing bagi membolehkan pilihan raya negeri dan parlimen diadakan serentak.

Azlan yang juga Pengerusi BN Perlis berkata BN telah bersiap siaga bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri yang bakal dilakukan bersama PRU15.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan