JOHOR BAHRU, 10 Okt (Bernama) -- Demi mencabar diri lebih berdikari, seorang pelajar Orang Kurang Upaya (OKU) kerdil mengambil keputusan menyambung pelajaran dalam jurusan Sarjana Muda Psikologi Dengan Pembangunan Manusia di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di sini.
Nur Hanis Zainalabidin, 19, penghidap pseudoachondroplasia iaitu gangguan pertumbuhan tulang atau kerdil sejak dilahirkan berkata kepercayaan yang diberikan ibu dan bapanya menjadi pembakar semangat sekali gus mengetepikan soal kekurangan dirinya untuk berjaya.
“Ini kali pertama saya masuk asrama dan berjauhan dari keluarga, saya rasa boleh berdikari. Kalau tidak sekarang, bila lagi (berdikari)?” kata anak bongsu daripada empat beradik itu kepada pemberita selepas Sesi Pendaftaran Pelajar Baharu di UTM di sini hari ini.
Gadis berasal dari Parit Sulong, Batu Pahat dengan berketinggian 121 sentimeter (cm) itu berkata pergerakannya adalah terhad dan perlu menggunakan tongkat selain mudah berasa penat jika berjalan lebih daripada 200 meter (m) sehingga kadangkala boleh menyebabkan dirinya mengalami demam.
Bagaimanapun, Nur Hanis berkata keadaan itu tidak menjadi halangan bagi dirinya yang berazam mendapatkan keputusan cemerlang selain bercita-cita untuk berkhidmat dalam bidang sumber manusia.
Sementara itu, Nur Billahizzah Razib, 20, OKU penghidap cerebral palsy kerana gangguan saraf tulang belakang pula teruja serta tidak sabar untuk memulakan pengajian dalam bidang Sarjana Muda Sains Pembangunan Sumber Manusia.
Anak kedua daripada tiga beradik berasal dari Seri Medan, Batu Pahat itu berkata dia boleh berjalan dengan normal, namun mudah berasa penat dan berharap dapat menjalani pengajian di universiti berkenaan dengan lancar.
“Kebiasaannya, saya akan berasa sakit jika terlalu penat seperti lenguh di bahagian belakang badan. Syukur saya dapat melanjutkan pengajian di sini kerana setiap tahun saya perlu menjalani pemeriksaan di Hospital Sultanah Aminah (HSA),” katanya.
Terdahulu, Naib Canselor UTM Prof Datuk Dr Ahmad Fauzi Ismail berkata universiti itu menerima 3,558 pelajar Sarjana Muda Sepenuh Masa bagi sesi akademik 2022/2023.
Beliau berkata daripada jumlah itu, sebanyak 3,401 pelajar akan mendaftar pengajian di kampus UTM di sini dan 157 pelajar pula di UTM Kuala Lumpur.
Ahmad Fauzi berkata sebanyak 567 pelajar antarabangsa dari 35 negara antaranya Bangladesh, Brunei Darussalam, China, Ekuador, Indonesia, Mesir, Pakistan dan Yemen juga mendapat tawaran mengikuti pengajian di UTM untuk sesi akademik baharu kali ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial