AM

200 penduduk Mukim Tambisan sertai Sahabat Kita Demi Negara

08/10/2022 09:21 PM

LAHAD DATU, 8 Okt (Bernama) -- Seramai 200 penduduk di Mukim Tambisan, Tungku dekat sini menjadi ahli 'Sahabat Kita Demi Negara' yang berperanan sebagai mata dan telinga kerajaan berkaitan isu keselamatan negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) Dr Jamaluddin Mohd Ali berkata menjaga keselamatan negara bukan hanya tanggungjawab pasukan keselamatan sebaliknya  turut membabitkan penduduk di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone).

“Penduduk boleh melaporkan sebarang aktiviti menyalahi undang-undang dan mengancam negara. Ini adalah tanggungjawab bersama masyarakat untuk menjamin supaya negara ini dan kawasan ini sentiasa selamat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Keluarga Malaysia Teguh Bersama Mukim Tambisan dekat sini hari ini.

Inisiatif Sahabat Kita Demi Negara merupakan program di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang menyaksikan individu mendaftar diberi pasport keahlian dan boleh memilih untuk menyertai aktiviti dengan agensi keselamatan di bawah KDN seperti Polis Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Agensi Antidadah Kebangsaan atau Jabatan Sukarelawan Malaysia.

Jamaluddin berkata selain operasi keselamatan, ESSCom melaksanakan pelbagai program kemasyarakatan untuk melonjakkan tahap kesejahteraan masyarakat sekitar ESSZone antaranya peningkatan sosioekonomi penduduk daerah Kinabatangan dan Beluran.

"Program tersebut melibatkan 200 peserta pelbagai latar belakang yang tinggal di kawasan pedalaman, pesisir pantai dan perkampungan air dengan objektif utama memberi pendedahan kemahiran baharu serta meningkatkan kemahiran sedia ada agar mereka menjana pendapatan sekali gus tidak terlibat jenayah.

"Menjadi hasrat ESSCom untuk memastikan masyarakat di ESSZone dapat menjalankan aktiviti harian dengan penuh rasa yakin selaras hasrat kerajaan untuk memacu pertumbuhan ekonomi dan memakmurkan negara," katanya. 

Program Keluarga Malaysia Teguh Bersama anjuran ESSCom dengan kerjasama Perbendaharaan Malaysia Sabah yang berlangsung selama dua hari di pekarangan Klinik Kesihatan Tambisan sejak semalam dimeriahkan dengan kehadiran lebih 1,000 penduduk.

Sebanyak  30 kaunter perkhidmatan dibuka kepada penduduk bagi urusan rasmi antaranya Jabatan Pendidikan, Jabatan Imigresen dan Jabatan Pendaftaran Negara selain badan bukan kerajaan.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan