EKONOMI

Bajet 2023 pertingkat daya saing perniagaan di Wilayah Ekonomi Koridor Utara

07/10/2022 11:31 PM

Oleh Kenny Teng Khoon Hock

GEORGE TOWN, 7 Okt (Bernama) -- Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) menyifatkan Bajet 2023 sebagai pembaharuan mampan bagi meningkatkan lagi kesejahteraan rakyat serta daya saing perniagaan di Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER).

Ketua Eksekutif NCIA Mohamad Haris Kader Sultan berkata ini termasuk peningkatan ketara peruntukan sebanyak RM1.4 bilion dalam belanjawan itu bagi wilayah koridor, sekali gus mampu mempercepat aspek pembangunan di kawasan terbabit.

Menurutnya ini melalui usaha mewujudkan peluang pekerjaan, meningkatkan pendapatan dan menjana peluang perniagaan terutama bagi golongan B40, miskin serta miskin tegar termasuk masyarakat Orang Asli.

“Pertambahan peruntukan ini akan terus memacu pemulihan sektor berkaitan yang terjejas akibat pandemik selain berperanan sebagai pemangkin bidang pertumbuhan baharu termasuk melonjakkan industri dalam rantaian nilai,” katanya kepada Bernama dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, NCIA turut menyambut baik tumpuan diberikan kepada agenda jaminan makanan negara.

Malah, sejajar dengan matlamat itu, NCIA akan menyepadukan aktiviti pertanian huluan dan hiliran melalui Projek Ladang Tenusu Chuping di Perlis di bawah inisiatif Zon Ekonomi AgriBio NCER (NAEZ).

“Projek tersebut yang melibatkan pelaburan swasta sehingga RM4.5 bilion, dijangka memulakan operasi komersial menjelang 2025 dengan sasaran penghasilan sebanyak 100 juta liter susu segar setahun dalam tempoh tiga tahun pertama selain mewujudkan lebih 2,000 peluang pekerjaan," katanya.

Terdahulu ketika membentangkan Bajet 2023, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengumumkan bahawa lima Wilayah Koridor utama negara akan menerima peruntukan keseluruhan sebanyak RM1.4 bilion iaitu peningkatan dua kali ganda berbanding RM690 juta bagi 2022.

Selain NCER, koridor ekonomi lain di Malaysia adalah Iskandar Malaysia, Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER), Koridor Pembangunan Sabah (SDC) dan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (Score).

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan