DUNIA

CHINA LAKAR PENCAPAIAN CEMERLANG SEJAK SEDEKAD LALU - DUTA 

03/10/2022 05:25 PM

GENEVA, 3 Okt (Bernama) -- China meraih pencapaian cemerlang dalam pembangunan negara sepanjang 10 tahun lalu selepas sosialisme bercirikan China memasuki era baharu, kata wakil tetap China ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Geneva Chen Xu pada majlis sambutan ulang tahun ke-73 penubuhan Republik Rakyat China, baru-baru ini.

Chen yang juga wakil China ke pertubuhan antarabangsa lain di Switzerland, berkata 10 tahun lalu menyaksikan China berjaya mewujudkan masyarakat makmur sederhana secara menyeluruh, dan mencatatkan prestasi baik dalam pembangunan ekonomi dan pencegahan pandemik.

“Perkadaran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) China di dunia meningkat kepada 18 peratus berbanding 11.3 peratus, yang turut melonjakkan pembangunan ekonomi dan kehidupan rakyat ke tahap lebih tinggi.

“Demokrasi rakyat membabitkan keseluruhan proses terus dimantapkan bagi memastikan setiap rakyat China menikmati hak asasi mereka, sekali gus perpaduan dalam kalangan masyarakat pelbagai etnik terus utuh,” kata Chen.

Beliau berkata China aktif dalam menggerakkan pembentukan hubungan antarabangsa model baharu, memantapkan pelaksanaan Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) serta mengetengahkan cadangan seperti Inisiatif Pembangunan Global dan Inisiatif Keselamatan Global untuk bersinergi dengan negara lain ke arah membina komuniti berkongsi nasib sesama insan.

“Kongres Kebangsaan ke-20 Parti Komunis China (PKC) akan dirasmikan tidak lama lagi. Seluruh rakyat China akan berganding bahu untuk membuka lembaran baharu dalam usaha membangunkan negara sosialis moden secara menyeluruh,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan