EKONOMI

AmBank, Merchantrade Asia lancar e-dompet hibrid

03/10/2022 04:03 PM

KUALA LUMPUR, 3 Okt (Bernama) -- Ambank (M) Bhd (AmBank) dan Merchantrade Asia Sdn Bhd (Merchantrade Asia) telah memeterai kerjasama strategik untuk melancarkan e-dompet hibrid yang membolehkan pengguna mendapat manfaat daripada akaun semasa Islam dengan jumlah had gabungan sebanyak RM50,000.

Ia merupakan e-dompet terbesar setakat ini di Malaysia, menyaksikan akaun semasa hibrid AmBank Islamic (hCA-i) digabungkan dengan e-dompet Merchantrade Money dengan sokongan daripada DuitNow.

Ketua Pegawai Eksekutif AmBank Group Datuk Sulaiman Mohd Tahir berkata e-dompet itu dapat menarik ramai pendeposit untuk mendapatkan perkhidmatan AmBank.

“AmBank sendiri tidak mempunyai e-dompet sendiri setakat ini, dan menerusi kerjasama tersebut, kami menjangkakan 10,000 pelanggan baharu mendaftar menjelang akhir tahun ini.

“Ini akan mewujudkan penciptaan nilai pelanggan untuk Ambank dan pelanggan kami boleh mempunyai lebih banyak ciri-ciri keistimewaan selain daripada manfaat sedia ada akaun semasa yang mereka nikmati,”  katanya pada sidang media di majlis pelancaran e-dompet hibrid di sini hari ini.

Dalam kenyataan bersama antara AmBank dan Merchantrade Asia, Sulaiman juga berkata kerjasama itu  telah membangunkan penyelesaian pembayaran rentas sempadan pelbagai mata wang pertama di pasaran, dan meningkatkan rangkaian penawaran digital inovatif untuk pelanggan Ambank.

“Dengan pemahaman tentang pasaran semasa dan persekitaran yang pantas kami beroperasi hari ini, teknologi canggih ini akan memberikan kami kelebihan daya saing dalam industri perbankan dipacu digital yang pesat berkembang,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan dan Pengasas Merchantrade Asia Ramasamy K Veeran berkata e-dompet hibrid itu membolehkan pengguna mempunyai lebih banyak ciri-ciri e-dompet.

Merchantrade Asia adalah syarikat teknologi kewangan (fintech) dalam pengendalian perniagaan perkhidmatan wang dan penerbitan e-wang. 

“Pengguna juga boleh mendapat keuntungan daripada AmBank. Ia unik dan pencetus perubahan bagi industri.

"E-dompet hibrid akan menjadi yang terbesar di pasaran, meningkatkan pengalaman pengguna dan menyediakan tahap keselesaan baharu untuk pembayaran secara dalam talian, merentasi sempadan dan pelbagai mata wang untuk pelanggan runcit dan perniagaan kami,” kata Ramasamy.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan