AM

GRADUAN DISERU HAYATI SEJARAH KEMERDEKAAN NEGARA

11/08/2022 04:14 PM

KUALA LUMPUR, 11 Ogos (Bernama) -- Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyeru para graduan agar sentiasa mengingati dan menghayati sejarah kemerdekaan negara.

Seri Paduka bertitah penghayatan sejarah adalah penting untuk membangkitkan kesedaran dan kecintaan kepada negara serta menghargai nikmat kemakmuran yang dikecapi sekarang.

“Generasi pewaris negara harus sentiasa menghayati dan mengambil iktibar daripada sejarah. Ini kerana manusia yang tidak belajar daripada sejarah akan mengulangi kesilapan sama berulang kali.

"Kerana itu para cendekiawan dunia menyatakan bahawa identiti nasional sesuatu bangsa dan negara ditentukan oleh batasan waktu yang berkait rapat dengan sejarah," titah Al-Sultan Abdullah dalam titah diraja pada Majlis Konvokesyen ke-17 dan 18 Universiti Kuala Lumpur (UniKL) di sini hari ini.

Turut berangkat Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah. Hadir sama Pro-Canselor UniKL Datuk Seri Mahdzir Khalid yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Datuk Seri Azizah Mohd Dun.

Al-Sultan Abdullah yang juga Canselor UniKL bertitah pembinaan bangsa Malaysia dapat dicapai menerusi kefahaman dan penghayatan kepada sejarah negara. 

"Justeru, usaha-usaha untuk memupuk identiti nasional dan menanam semangat nasionalisme hendaklah bergerak seiringan dengan usaha untuk menghayati sejarah bumi yang dipijak dan tanah tumpahnya darah kita," titah Seri Paduka. 

Sementara itu, Seri Paduka menzahirkan pujian kepada UniKL yang mempelopori pelbagai bidang teknologi baharu seperti tenaga lestari, kenderaan elektrik, data besar,Internet Pelbagai Benda (IoT) dan aeroangkasa.

Seri Paduka bertitah UniKL hendaklah terus meneroka bidang-bidang baharu demi membina keupayaan masa depan masyarakat dan negara sehingga melonjakkan negara setanding negara maju yang lain. 

Terdahulu, pada majlis sama Seri Paduka turut memasyhurkan Mahdzir dan Azizah sebagai Pro-Canselor baharu UniKL dan berkenan mengurniakan watikah pelantikan jawatan itu kepada kedua-duanya. 

Sebanyak 10,547 graduan terbabit dalam majlis konvokesyen bagi 2020 dan 2021 yang tertangguh selama dua tahun. 

Ia diadakan sebanyak 13 sesi bermula hari ini hingga 17 Ogos. 

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan