AM

Pernas tubuh KUF, pupuk budaya keusahawanan kalangan pelajar

11/08/2022 12:57 PM

KUALA LUMPUR, 10 Ogos (Bernama) -- Perbadanan Nasional Bhd (Pernas) mewujudkan Kelab Usahawan Francais (KUF) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Pantai, Bangsar hari ini, bagi melahirkan lebih ramai bakal usahawan francais khususnya daripada golongan muda.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Pernas Mazlan Ibrahim berkata usaha itu yang merupakan inisiatif tanggungjawab sosial korporatnya akan melibatkan pelajar tingkatan empat dan lima sekolah terbabit bertujuan memberi pendedahan dan meningkatkan kefahaman pelajar mengenai konsep perniagaan khususnya bidang francais. 

“Ahli-ahli KUF ini  akan diberi pendedahan mengenai keusahawanan khususnya dalam bidang francais yang merangkumi maklumat mengenai konsep perniagaan francais serta kelebihan konsep perniagaan francais berbanding konsep perniagaan yang lain. 

“Selain itu KUF juga dapat menyemai minat, membentuk nilai dan budaya keusahawanan dalam kalangan pelajar agar mereka menjadikan bidang keusahawanan sebagai pilihan kerjaya selepas tamat belajar,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Selari dengan penubuhan kelab itu hari ini, satu sudut informasi telah diwujudkan di pusat sumber  SMK Seri Pantai bagi memberi pendedahan awal mengenai industri francais.

Menurutnya, aktiviti yang dilaksanakan KUF melibatkan tiga fasa meliputi fasa pengenalan, fasa eksplorasi dan fasa penutup. 

Mengulas lanjut, Mazlan berkata fasa pengenalan akan melibatkan seminar keusahawanan francais, pendedahan kepada Program Business In Transformation (BIT) dan peluang kerjaya bersama Focus Point yang telah dilaksanakan hari ini.

“Pada fasa eksplorasi, satu lawatan ke Menara Pernas untuk mengetahui mengenai sistem pengoperasian dan perkongsian ilmu bersama jenama francais dan para francais dalam bidang F&B (makanan dan minuman) iaitu GJC dan 1901. 

“Fasa penutup akan memfokuskan pada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) seramai 200 orang dengan pendedahan mengenai peluang kerjaya dengan jenama francais seperti Focus Point dan KOMUGI.

Selain itu pada program sama, 40 ahli KUF dan 200 pelajar yang bakal menduduki SPM menerima perkhidmatan pemeriksaan mata secara percuma oleh salah satu rakan strategik Pernas  iaitu Focus Point.

Focus Point dan Pernas turut menaja 100 cermin mata percuma kepada pelajar yang memerlukan cermin mata. 

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan