AM

DUN N.SEMBILAN LULUS USUL BERKAITAN KOS SARA HIDUP

10/08/2022 07:36 PM

SEREMBAN, 10 Ogos (Bernama) -- Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan hari ini sebulat suara meluluskan usul berkaitan langkah menangani kos sara hidup yang membebankan rakyat di negeri ini.

Usul yang dicadangkan ADUN Chennah Anthony Loke Siew Fook dan dibahaskan 18 wakil rakyat daripada blok kerajaan dan pembangkang sejak semalam itu, membolehkan kerajaan negeri membekukan sebarang kenaikan kadar dalam apa jua cukai, sewa, caj dan bayaran sehingga inflasi dapat dikawal.

Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun ketika menggulung usul berkenaan turut mengumumkan peruntukan khas sebanyak RM5 juta bagi menjayakan inisiatif Jualan Harga Ladang Nismilan Prihatin di semua daerah bermula 1 Sept hingga 31 Dis ini.

Beliau berkata ia sebagai tanda keperihatinan kerajaan negeri terhadap nasib rakyat akibat daripada kenaikan kos sara hidup sekali gus meringankan beban mereka ketika ini.

Menurutnya inisiatif berkenaan dilaksanakan melalui kerjasama semua pihak termasuk pengeluar, penternak, petani dan agensi kerajaan supaya barangan asas dapat dijual pada harga ladang selain menghapuskan elemen orang tengah.

“Antara item yang akan dijual di bawah inisiatif ini adalah ayam, daging, telur, minyak masak dan barangan asas lain pada harga murah iaitu antara 20 hingga 30 peratus lebih rendah berbanding harga pasaran.

“Inisiatif ini merupakan strategi serampang dua mata yang memberi impak positif bukan sahaja kepada rakyat sebagai pembeli malah pengeluar, penternak dan usahawan tani yang terlibat secara langsung dalam membekalkan produk berkenaan,” katanya pada Persidangan Kedua Penggal Kelima DUN yang ke-14 hari ini.

Dalam pada itu, Aminuddin berkata kerajaan juga sentiasa meneliti dasar sedia ada serta input menerusi kerjasama agensi pertanian, Jabatan Pengairan dan Saliran negeri dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar negeri bagi membantu rakyat.

Terdahulu, Datuk Seri Mohamad Hasan (BN-Rantau) semasa sesi perbahasan usul itu mencadangkan supaya kerajaan negeri membuat atau menggubal dasar baharu bagi menangani kos sara hidup yang tinggi untuk penyelesaian jangka masa panjang.

"Usaha itu juga menjadikan negeri ini mesra peniaga dan menggalakkan lebih ramai meniaga di sini. Dasar perlu digubal mengikut zaman (bertepatan dengan keperluan semasa)," katanya yang turut mencadangkan agar mengambil pendekatan intervention supply side policy daripada memfokuskan permintaan sahaja. 

Dalam perkembangan lain, Timbalan Yang Dipertua DUN Datuk M. Ravi turut mengumumkan Datuk Dr Ahmad Azam Hamzah dipilih sekali lagi sebagai Senator bagi mewakili Negeri Sembilan di Dewan Negara untuk tempoh tiga tahun.

Pemilihan Dr Ahmad Azam, 61, yang dicadangkan Aminuddin itu mendapat sokongan majoriti ADUN pada hari terakhir persidangan hari ini.

Dr Ahmad Azam yang berasal dari Kemaman, Terengganu, merupakan doktor veterinar di syarikat CP Holding dan mula bergiat aktif dalam politik pada1998 menerusi PKR.

Persidangan DUN ditangguhkan ke suatu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan