KUALA LUMPUR, 10 Ogos (Bernama) -- Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia pada suku kedua dijangka berkembang sebanyak 8.4 peratus tahun ke tahun, jauh lebih kukuh daripada unjuran konsensus (sebanyak 6.9 peratus), didorong terutamanya oleh prestasi perdagangan luar yang baik yang meningkat sebanyak 30 peratus tahun ke tahun, menurut AmBank Research.
Pertumbuhan KDNK suku kedua juga lebih tinggi daripada lima peratus yang dicatatkan pada suku pertama tahun ini.
Eksport produk elektrik dan elektronik melonjak dengan kukuh sebanyak 38 peratus tahun ke tahun (suku pertama 2022: 27 peratus) dan produk berasaskan komoditi seperti produk petroleum yang meningkat 72.9 peratus tahun ke tahun (suku pertama: 51.5 peratus) serta eksport berasaskan minyak sawit, naik 49.4 peratus tahun ke tahun (suku pertama: 67 peratus).
“Kami turut menjangka penggunaan swasta yang kukuh pada suku kedua 2022 daripada permintaan yang meningkat, pengeluaran KWSP, pasaran pekerjaan yang lebih baik, gaji yang lebih tinggi dan keyakinan yang bertambah baik.
“Data telah menunjukkan jualan runcit yang kukuh apabila secara purata pada April-Mei mencecah 17.6 peratus tahun ke tahun berbanding purata pada Januari-Mac sebanyak 8.6 peratus tahun ke tahun,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Data mengenai KDNK suku kedua dijadualkan akan diumumkan oleh Bank Negara pada Jumaat ini.
Menurut cabang penyelidikan AmBank Group itu, walaupun peningkatan KDNK lebih tinggi pada suku kedua, ia terus berhati-hati terhadap faktor-faktor tertentu pada masa depan termasuk kos sara hidup yang meningkat yang dijangka menjejaskan perbelanjaan pengguna.
Faktor lain ialah cabaran luaran mengenai pertumbuhan dan perdagangan global yang lembap, gangguan rantaian bekalan serta tambang muatan dan harga komoditi yang tinggi.
“Kekurangan buruh menyebabkan peluang yang tinggi untuk kehilangan hasil serta kekurangan tenaga kerja dan ketegangan geopolitik di Ukraine dan kini antara China dan Taiwan juga akan menjadi faktor yang akan memberi impak kepada ekonomi kita pada masa depan.
“Secara keseluruhannya, kami mengekalkan pandangan kami mengenai pertumbuhan KDNK sebanyak 5.6 peratus pada 2022 dengan peningkatan sebanyak 6.0 peratus dan penurunan sebanyak 4.8 peratus,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial