SUKAN

Undian rasmi Piala AFF 2022 pada 30 Ogos di Bangkok

30/08/2022 06:42 PM

KUALA LUMPUR, 10 Ogos (Bernama) -- Undian rasmi kejohanan bola sepak Piala Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) 2022 akan diadakan pada 30 Ogos di Bangkok, Thailand.

AFF dalam kenyataan hari ini memaklumkan, kejohanan yang memasuki edisi ke-14 tahun ini, akan kembali berlangsung mengikut format penuh secara timbal balik dengan 10 pasukan yang layak akan bersaing merebut gelaran berprestij ASEAN itu.

“Undian rasmi akan menyaksikan pasukan dibahagi kepada dua kumpulan dengan masing-masing lima pasukan, setiap pasukan akan bermain dua perlawanan secara timbal balik di peringkat kumpulan.

“Dua pasukan terbaik setiap kumpulan layak ke pusingan kalah mati juga dijalankan secara timbal balik untuk perlawanan separuh akhir dan akhir,” menurut AFF.

Menurut kenyataan itu, sembilan negara yang mengambil bahagian adalah Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam manakala pasukan ke-10 akan ditentukan melalui perlawanan play-off antara Brunei dan Timor Leste.

Wakil daripada Majlis AFF, ahli-ahli persatuan, penaja dan sebahagian daripada pasukan bertanding dijangka hadir pada majlis undian rasmi yang dijadual pada 2 petang waktu tempatan.

Sementara itu, Presiden AFF Mejar Jeneral Khiev Sameth dalam kenyataan sama berkata pengumuman mengenai undian rasmi menandakan bermulanya langkah penting dalam persiapan menghadapi Piala AFF 2022.

“Kami yakin peminat dan pasukan-pasukan kebangsaan berkongsi keterujaan ini, dan undian ini bermakna bermulalah persediaan ke arah pertunjukan bola sepak terbesar di rantau ini yang akan berlangsung pada hujung tahun,” katanya.

Peminat bola sepak boleh mengikuti strim langsung sesi undian berkenaan di laman rasmi Piala AFF 2022 dan platform media sosial, serta pelbagai saluran serta platform rakan media rasmi kejohanan.

 

Dalam pada itu, Pan Gon berkata keputusan undian Kumpulan B itu disifatkan sebagai medium terbaik dalam menguji kekuatan pasukannya.

"Ia undian yang baik untuk kami walapun pasukan lain juga kuat tetapi kami sudah bersedia. Vietnam adalah yang paling kuat manakala Singapura, Myanmar dan Laos juga pasukan yang bagus.

“Kita akan berikan saingan terbaik dan keputusan yang baik. Ini adalah peluang terbaik untuk berdepan pasukan terkuat dan muka-muka baharu untuk menguji mereka (Harimau Malaya),” katanya menerusi video yang dikongsi kepada media.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan