EKONOMI

KADAR PENGANGGURAN AKAN TERUS MENYUSUT BERIKUTAN PEMULIHAN KUKUH PASCA PANDEMIK - KENANGA

10/08/2022 01:23 PM

KUALA LUMPUR, 10 Ogos (Bernama) -- Kenanga Investment Bank Bhd mengekalkan unjurannya ke atas kadar pengangguran yang dijangka berkurangan pada bulan-bulan akan datang, disokong pemulihan kukuh pasca pandemik berikutan negara dalam fasa peralihan ke endemik.

Dalam nota penyelidikan hari ini, ia berkata ramalan kadar pengangguran itu akan diperkukuhkan lagi dengan dasar kerajaan yang berterusan seperti program subsidi upah dan penambahbaikan selanjutnya dalam sektor perkhidmatan, terutamanya berkaitan aktiviti pelancongan.

“Berikutan situasi pasaran buruh mencatatkan pemulihan kukuh dengan kadar pengangguran bertambah baik kepada 3.9 peratus pada suku kedua 2022, kami menjangkakan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku kedua akan berkembang kepada 7.7 peratus dalam keadaan penggunaan swasta yang dijangka stabil dan pengembangan dalam sektor perkhidmatan,” katanya.

Firma penyelidikan itu turut mengekalkan ramalan pertumbuhan KDNK 2022 pada 5.0-5.5 peratus.

Kadar pengangguran di Malaysia mencatatkan aliran penurunan pada 3.8 peratus untuk tempoh Jun 2022, paras terendah sejak negara dilanda pandemik COVID-19, dengan jumlah penganggur merosot kepada 630,600 orang pada Jun 2022 berbanding 637,700 orang pada bulan sebelumnya.

Senada dengan Kenanga, Hong Leong Investment Bank Bhd menjangkakan pasaran buruh akan meneruskan momentum pemulihannya pada bulan-bulan akan datang berikutan ekonomi terus mencatatkan pemulihan daripada pandemik, terutamanya dalam sektor perkhidmatan.

“Bagaimanapun, kekurangan pekerja asing terus memberi kesan kepada banyak sektor ekonomi,” katanya.

Sehubungan itu, firma penyelidikan itu mengekalkan ramalan KDNK 2022 pada 5.9 peratus tahun ke tahun dan menjangkakan Bank Negara Malaysia akan menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas lagi pada September, menjadikan OPR kepada 2.5 peratus menjelang akhir 2022.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan