BERITA TERGEMPAR   Malaysia hopes ASEAN-Canada Free Trade Agreement negotiations can be concluded soonest possible for mutual benefit - PM Anwar | 
 DUNIA

China ulangi sokongannya terhadap pemusatan ASEAN

09/08/2022 02:15 PM

KUALA LUMPUR, 9 Ogos (Bernama) -- China mengulangi sokongannya terhadap Pemusatan ASEAN dalam kerangka serantau yang terus berkembang di saat kumpulan 10 negara itu menyambut ulang tahun penubuhannya yang ke-55 pada Isnin.

Kementerian Hal Ehwal Luar China dalam satu kenyataan memaklumkan kumpulan itu telah mengetuai Asia Timur dalam memupuk kerjasama serantau yang terbuka dan inklusif dengan ASEAN sebagai pusat, serta memberi sumbangan penting kepada keamanan, kestabilan, pembangunan dan kemakmuran di rantau ini.

“Sebagai jiran ASEAN dan Rakan Strategik Komprehensif, China ingin melihat ASEAN yang bersatu, bebas, kukuh dan berkembang,” menurut kenyataan yang disiarkan di laman web kementerian itu pada Isnin.

Kementerian itu memaklumkan bahawa China mengiktiraf dan menghormati ASEAN sebagai zon yang aman, bebas dan berkecuali, dan tidak pernah meminta ASEAN untuk berpihak, serta tidak akan berbuat demikian di masa hadapan.

“Hubungan ASEAN-China tidak mensasarkan mana-mana pihak ketiga atau tertakluk kepada gangguan dan provokasi terhadap mana-mana pihak ketiga,” menurut kenyataan itu.

Kementerian itu menegaskan bahawa China bersedia untuk menjadi negara pertama menandatangani Protokol Perjanjian berkenaan Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara bagi menyokong usaha ASEAN memastikan rantau itu bebas daripada senjata nuklear dan senjata pemusnah besar-besaran lain.

Ia juga menyentuh mengenai Pandangan ASEAN mengenai Indo-Pasifik (AOIP), menegaskan bahawa China bersedia untuk bekerjasama dengan kumpulan itu untuk menjamin keterbukaan, keterangkuman, dan kerjasama yang menguntungkan semua pihak, memajukan kerjasama praktikal dalam empat bidang keutamaan AOIP, serta menggalakkan pemulihan pasca COVID dan pembangunan mampan di rantau ini.

Mengenai integrasi ekonomi serantau, kenyataan itu berkata China akan berusaha untuk perkenalkan pembangunan bersama di rantau ini melalui pusingan baharu penambahbaikan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) ASEAN-China dan pelaksanaan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP).

Dengan memberi tumpuan kepada mewujudkan tanah air yang aman, selamat dan terjamin, makmur, indah dan mesra bersama-sama, kementerian itu memaklumkan China berharap dapat bekerjasama dengan ASEAN untuk memajukan Perkongsian Strategik Komprehensif, dan membina komuniti ASEAN-China yang lebih mesra di masa hadapan.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan