DUNIA

RUSIA TANGGUH PEMERIKSAAN AS TERHADAP TAPAK SENJATA NUKLEARNYA DI BAWAH NEW START

09/08/2022 12:52 PM

MOSCOW, 9 Ogos (Bernama) -- Rusia memaklumkan kepada Amerika Syarikat (AS) pada Isnin bahawa ia menangguhkan sementara pemeriksaan AS ke atas tapak senjata nuklearnya di bawah Perjanjian 2010 mengenai Langkah-Langkah Pengurangan Lanjut dan Had Penggunaan Senjata Strategik (New START).

"Pada 8 Ogos 2022, Rusia secara rasmi memaklumkan kepada Amerika Syarikat melalui saluran diplomatik bahawa Moscow mengecualikan sementara kemudahannya daripada pemeriksaan di bawah Perjanjian New START.

“Ia juga meliputi 'kemudahan yang boleh digunakan untuk demonstrasi' di bawah perjanjian itu,” menurut Kementerian Luar Rusia dalam satu kenyataan.

Kenyataan itu menegaskan bahawa langkah-langkah itu hanya bersifat "sementara," lapor Agensi Anadolu.

Ia menambah bahawa pengecualian itu akan dibatalkan serta-merta sekiranya terdapat "masalah dan isu berbangkit mengenai penyambungan semula aktiviti pemeriksaan di bawah perjanjian itu."

Perjanjian Strategik Pengurangan Senjata pertama, START I, telah ditandatangani pada 1991 antara AS dan USSR di saat terdapat beribu-ribu peledak nuklear dan perjanjian itu berkuat kuasa pada 1994.

Pada 2010, bekas Presiden AS Barack Obama dan bekas Presiden Rusia Dmitry Medvedev menandatangani perjanjian baharu dipanggil New START yang menetapkan had tidak lebih daripada 1,550 peledak digunakan dan 700 peluru berpandu, termasuk menjalankan pemeriksaan untuk mengesahkan pematuhan perjanjian itu.

Beberapa hari sebelum perjanjian itu tamat tempoh pada 5 Feb 2021, kedua-dua negara bersetuju untuk melanjutkannya bagi tempoh lima tahun lagi.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan