AM

TNB TAWAR 'INSENTIF SINARAN MERDEKA' KEPADA PELANGGAN KOMERSIAL BERMULA 1 OGOS

09/08/2022 12:04 PM

KUALA LUMPUR, 9 Ogos (Bernama) -- Tenaga Nasional Berhad (TNB) sekali lagi menawarkan ‘Insentif Sinaran Merdeka’ bagi menggalakkan pelanggan komersialnya menerangi bangunan dan kawasan persekitaran dengan lampu hiasan sempena sambutan Bulan Kebangsaan ini. 

Menurut kenyataan yang dikeluarkan TNB hari ini, insentif tersebut adalah bagi tempoh penggunaan elektrik selama dua bulan iaitu dari 1 Ogos sehingga 30 Sept.

“Insentif Sinaran Merdeka adalah dalam bentuk kadar tarif lebih rendah iaitu sebanyak 20.8 sen/kiloWatt per jam kWj bagi jumlah peningkatan penggunaan elektrik yang melebihi purata penggunaan tiga bulan, iaitu Mei, Jun dan Julai tahun ini,” menurut kenyataan itu. 

Pemohonan untuk insentif berkenaan dibuka pada 1 Ogos sehingga 15 Sept ini. 

Pelanggan yang layak untuk memohon tergolong di bawah tarif perdagangan yang telah mendapat bekalan elektrik sebelum 1 Ogos tahun lepas dan telah menerima sekurang-kurangnya satu bil sebenar sama ada pada Mei, Jun atau Julai tahun ini.

“Manfaat insentif khas ini akan dimasukkan ke dalam bil Oktober tahun ini secara sekali gus dan akan dipaparkan sebagai ‘Diskaun Karnival’,” menurut TNB. 

Menurut kenyataan itu, pelanggan boleh memohon secara dalam talian melalui portal myTNB (www.mytnb.com.my) atau membuat permohonan di Kedai Tenaga berhampiran.

“Untuk maklumat lanjut mengenai Insentif Sinaran Merdeka, pelanggan boleh menghubungi talian TNB CareLine di 1-300-88-5454, layari www.tnb.com.my atau e-mel: tnbcareline@tnb.com.my,” menurut kenyataan itu. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan