SUKAN

TIDAK MAHU LEKA DENGAN KEJAYAAN HARI INI - PEARLY

09/08/2022 12:59 AM

Daripada Amiril Muttaqien Meketar

BIRMINGHAM, 8 Ogos (Bernama) -- Juara beregu wanita Sukan Komanwel Birmingham 2022 baharu Pearly Tan - M.Thinaah tidak mahu bermegah dengan kejayaan dicapai hari ini sebaliknya mahu sentiasa berpijak di bumi nyata.

Pearly menegaskan bahawa mereka masih mempunyai ruang untuk diperbaiki walaupun berjaya menyumbang pingat emas ketujuh Malaysia selepas mengecewakan gandingan tuan rumah Chloe Birch-Lauren Smith, 21-5, 21-8 dalam aksi final hari ini.

“Saya sangat gembira dan bangga dapat membolehkan Negaraku berkumandang kali kedua di sini, Kami tidak boleh terlalu dibuai dengan kejayaan hari ini dan akan terus berjuang pada kejohanan seterusnya,” katanya kepada pemberita selepas upacara penyampaian pingat di sini.

Thinaah pula percaya pingat emas dimenangi mereka di Birmingham pasti meningkatkan lagi keyakinan mereka untuk beraksi di kejohanan akan datang.

Thinaah turut mengucapkan terima kasih kepada ahli keluarga, jurulatih, rakan sepasukan dan peminat yang sentiasa memberikan sokongan padu sepanjang perjuangan mereka di temasya empat tahun sekali itu.

Terdahulu, pemain perseorangan lelaki negara Ng Tze Yong menghadiahkan pingat perak selepas tewas kepada Lakshya Sen dari India 21-19, 9-21, 16-21.

Kem badminton menyumbang emas menerusi berpasukan campuran selepas mengecewakan India 3-1, selain turut meraih dua pingat gangsa masing-masing menerusi acara beregu lelaki (Aaron Chia-Soh Wooi Yik) dan beregu campuran (Tan Kian Meng-Lai Pei Jing).

Kontinjen negara menamatkan kempen di Birmingham 2022 dengan tujuh emas serta masing-masing lapan perak dan gangsa.

Majlis penutupan Sukan Komanwel edisi ke-22 akan diadakan di Stadium Alexander, Perry Barr di sini, pada 8 malam waktu tempatan (3 pagi 9 Ogos waktu Malaysia).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan