AM

ZAINUL RIJAL DIPILIH PRESIDEN MPSWP

08/08/2022 07:20 PM

KUALA LUMPUR, 8 Ogos (Bernama) -- Peguam syarie, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar dipilih sebagai Presiden Majlis Peguam Syarie Wilayah-Wilayah Persekutuan (MPSWP) bagi penggal pertama selama dua tahun (2022/2024).

Zainul Rijal dalam kenyataan hari ini berkata pemilihan itu diadakan pada mesyuarat agung kali pertama Badan Peguam Syarie Wilayah-Wilayah Persekutuan di Putrajaya yang dirasmikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad.

Beliau berkata peguam syarie yang hadir pada mesyuarat berkenaan juga turut memilih 13 anggota MPSWP untuk penggal tersebut berdasarkan Seksyen 49 Akta Profesion Guaman Syarie (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2019.

Katanya, pada pemilihan itu, Musa Awang dipilih sebagai naib presiden, Majdah Muda dipilih sebagai setiausaha manakala bendahari, Datuk Hazizah Kassim.

“Pada hari ini juga MPSWP telah memutuskan oleh kerana pembentukan MPSWP ini baru dibuat setelah Akta Profesion Guaman Syarie (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2019 dilaksanakan pada 21 Jun lepas, semua hal ehwal pelaksanaan mengenai Peguam Syarie Wilayah-Wilayah Persekutuan sebelum ini diteruskan sebagaimana sebelum pembentukan MPSWP sehinggalah ada ketetapan lain dibuat oleh MPSWP pada masa akan datang.

“Hal ini bagi membolehkan MPSWP meneliti kesemua peruntukan undang-undang dan kaedah yang akan diwartakan dalam masa terdekat,” katanya.

Beliau menyeru semua peguam syarie Wilayah Persekutuan merapatkan saf dan membantu dari semasa ke semasa bagi menjayakan agenda MPSWP serta menjadi teladan kepada majlis peguam syarie yang bakal diwujudkan di negeri-negeri.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan