Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid
KUALA LUMPUR, 8 Ogos (Bernama) -- Penyedia perkhidmatan Beli Sekarang Bayar Kemudian (BNPL) mencadangkan supaya pengawal selia Akta Kredit Pengguna (CCA) menganjurkan perbincangan kumpulan fokus dengan industri supaya maklum balas operasi praktikal boleh dikumpulkan untuk kertas perundingan mengenai akta tersebut.
Sebagai respons kepada Bernama mengenai penggubalan CCA yang sedang berjalan ketika ini, Pengurus Besar ShopBack Malaysia (ShopBack) Jason Wong juga mengesyorkan tempoh peralihan yang sesuai dipertimbangkan untuk menyediakan masa yang mencukupi bagi industri meningkatkan usahanya memenuhi permintaaan pengawal selia.
CCA dijangka dibentangkan pada suku kedua 2023 untuk memastikan kestabilan dan pertumbuhan sistem kewangan.
Akta ini akan ditadbir oleh Lembaga Pemantauan Kredit Pengguna (CCOB) di bawah Kementerian Kewangan.
“Peraturan yang cekap adalah penting. Justeru, ShopBack berharap kerjasama erat antara pengawal selia dan industri akan meletakkan industri dalam kedudukan lebih baik untuk menampung segmen yang tidak mendapat perkhidmatan/kemudahan dan tidak mempunyai akaun bank,” katanya.
Kertas perundingan mengenai akta tersebut mendedahkan bahawa terdapat peningkatan bilangan pemain tidak terkawal dalam ruang kredit pengguna termasuk syarikat-syarikat BNPL, syarikat pemfaktoran dan pemajakan bukan bank, pembeli pinjaman terjejas (ILB) dan agensi kutipan hutang (DCA).
Berdasarkan tinjauan yang dijalankan ke atas 10 penyedia BNPL bukan bank, nilai urus niaga pasaran BNPL melonjak kepada RM1.49 bilion pada 2021 daripada RM55 juta pada 2020 manakala industri BNPL global dianggarkan bernilai sekitar AS$157 bilion (RM699 bilion) .
Pertumbuhan itu bermakna risiko yang lebih besar daripada amalan tidak adil yang kerap menjadikan isi rumah yang mudah terjejas dan pengguna perniagaan kecil sebagai sasaran.
“Apabila ia berkembang, membawa penggiat berkenaan dalam bidang kuasa pengawalseliaan akan membantu melindungi pengguna kredit dengan lebih baik dan memastikan pembangunan teratur industri kredit pengguna pada masa hadapan,” katanya.
Hutang isi rumah Malaysia meningkat kepada RM1.375 trilion pada akhir 2021 daripada RM1.27 trilion pada 2020.
Oleh itu, Wong berharap usaha kerajaan dalam menggubal peraturan digabungkan dengan pendidikan kewangan dan kesedaran untuk memastikan perbelanjaan berhemat oleh pengguna dan keberkesanan keseluruhan keperluan di bawah Akta tersebut.
“Keputusan pengawal selia dilihat sebagai satu langkah ke hadapan untuk keseluruhan industri kerana ia akan melindungi kepentingan pengguna dan mencegah risiko hutang.
“Kami sangat mengalu-alukan usaha pengawal selia kerana percaya satu rangka kerja boleh menjadi petunjuk menggalakkan persaingan yang adil merentas pelbagai industri serta melindungi pengguna daripada amalan tidak adil dan meningkatkan kredibiliti kami dan memupuk keyakinan pengguna apabila berurusan dengan kami.
“Dengan penggubalan CCA, penyedia BNPL akan tertakluk kepada kebenaran dan keperluan pengendalian pasaran,” katanya.
Wong berkata syarikat itu sentiasa berusaha untuk meningkatkan proses dan prosedur dalamannya, justeru kertas perundingan itu akan memberi ShopBack pandangan awal mengenai jangkaan terhadap perkara dihendaki pengawal selia.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial