EKONOMI

Agrobank sasar 10,000 individu dapat manfaat daripada program pembiayaan PEMULIH Newbiz

08/08/2022 03:32 PM

KUALA LUMPUR, 8 Ogos (Bernama) -- Agrobank menyasarkan untuk membantu 10,000 individu melalui peruntukan RM50 juta menerusi Program Pembiayaan PEMULIH NewBiz.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata bank menyambut baik mandat dan tanggungjawab yang diberikan kerajaan dalam memulihkan sektor pertanian dan agromakanan negara yang sekali gus membantu rakyat Malaysia mendepani cabaran ekonomi semasa.

Mengenai Program Pembiayaan Pemulih NewBiz, beliau berkata program terbaharu Agrobank itu berbeza daripada program pembiayaan yang lain dan ia diolah khusus untuk membantu rakyat yang terkesan oleh situasi dan cabaran ekonomi semasa seperti hilang pekerjaan, graduan yang masih menganggur, individu asnaf, mereka yang ingin menambah pendapatan isi rumah dan suri rumah serta ibu tunggal.

“Kemudahan pembiayaan tanpa cagaran ini ditawarkan untuk tujuan pembelian aset tetap dan modal pusingan kepada aktiviti perniagaan yang ditetapkan seperti pembelian motosikal untuk aktiviti pengedaran dan penghantaran makanan melalui platform e-hailing,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Program Pembiayaan PEMULIH NewBiz diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika berucap merasmikan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Pelancongan Agro Malaysia (MAHA) 2022 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) pada Sabtu.

Tengku Ahmad Badli Shah berkata program tersebut juga terpakai kepada mereka yang menjalankan aktiviti perniagaan di rumah seperti pengedaran dan penghantaran makanan termasuk bagi tujuan pembelian bahan mentah, mesin dan motosikal yang bersesuaian dengan keperluan aktiviti tersebut.

Turut terpakai ialah pemprosesan dan penyediaan makanan atau bahan asas bagi menyediakan makanan sebelum dihantar ke tapak atau mana-mana premis perniagaan yang dibenarkan atau menjalankan aktiviti perniagaan di gerai yang berlesen seperti gerai burger dan sebagainya.

Beliau berkata program pembiayaan itu ditawarkan dalam dua peringkat iaitu pembiayaan sehingga RM5,000 diberikan bagi peringkat pertama manakala pembiayaan peringkat kedua sehingga RM10,000 akan ditawarkan selepas tempoh 12 bulan dari tarikh kemudahan pembiayaan peringkat pertama dikeluarkan.

Bagi program pembiayaan ini, Agrobank turut menyediakan kemudahan moratorium bagi tempoh enam bulan pertama pembiayaan dan bagi bulan ketujuh dan seterusnya, mereka hanya dikenakan kadar keuntungan serendah tiga peratus sahaja dengan tempoh maksimum pembiayaan sehingga 60 bulan atau lima tahun.

“Tempoh moratorium ini untuk memberi ruang kepada para usahawan untuk kekal fokus dalam mengatur strategi perniagaan mereka, sambil menimba ilmu dan pengalaman dalam mendalami selok-belok dunia perniagaan serta menstabilkan modal pusingan perniagaan baharu yang sedang mereka usahakan sebelum memulakan pembayaran semula pembiayaan mereka,” katanya.

Bagi mereka yang baru sahaja terlibat dalam perniagaan makanan atau usahawan muda mahupun mereka yang mempunyai minat untuk memulakan perniagaan makanan, boleh mendapatkan khidmat nasihat daripada Pusat Kecemerlangan Agrobank (ACE) untuk pelbagai cabang khidmat nasihat.

“Program Pemulih NewBiz adalah salah satu inisiatif berterusan Agrobank, dalam memainkan peranannya sebagai sebuah Institusi Kewangan Pembangunan (IKP) dalam sektor pertanian, memenuhi tanggungjawab ‘melangkaui perbankan’ dengan menawarkan pelbagai kemudahan yang dapat membantu komuniti terpinggir dan tidak mendapat liputan selain menyokong individu yang tidak mempunyai pekerjaan namun sentiasa mencari peluang baharu untuk menjana pendapatan dan sekali gus menambah baik taraf sosio-ekonomi diri dan keluarga,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan